Para sejarawan berbeza pendapat tentang asal-usul permulaan Syiah. Pendapat pertama dan yang paling terkenal adalah kemunculan mereka bermula apabila berlaku khilaf antara Ali RA dan Muawiyah RA ketika Perang Siffin. Jika mengikut pendapat ini, maka pengikut Ali RA diiktibarkan sebagai Syiah dan pengikut Muawiyah RA diiktibarkan sebagai Sunnah wal Jamaah. Tetapi, pada hakikatnya ia bukan seperti itu.
Pendapat Ahli Sunnah mengatakan kebenaran antara perselisihan antara dua sahabat mulia ini berada di pihak Ali RA dan Ahli Sunnah berpendapat bahawa Muawiyah telah berijtihad dalam hal ini tetapi ijtihad itu didapati tidak benar. Maka kecenderungan Ahli Sunnah kepada pihak Ali RA sangat jelas.
Tambahan pula, yang dikatakan dengan fahaman, prinsip, dan aqidah yang dilaung-laungkan oleh Syiah, semua itu jauh dari fahaman, prinsip dan aqidah yang diimani oleh Ali RA. Maka dengan itu jelas bahawa pendapat yang mengatakan Syiah bermula sebagai pengikut Ali pada peristiwa ini adalah salah sama sekali.
Pendapat kedua pula mengatakan Syiah muncul setelah kematian Husain bin Ali RA yang mana beliau telah keluar dari pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Dalam peristiwa ini, penduduk Iraq memanggil Husain RA untuk menyertai mereka di Iraq dan menjanjikan sokongan dan pertolongan kepada beliau. Tetapi pada saat akhir mereka mengkhianati beliau dan akhirnya beliau dibunuh di Karbala.
Maka bangkitlah sekelompok Muslimin menyeru agar pembunuhan ini dituntut bela. Tetapi di pihak satu lagi menghukum kelompok ini kafir kerana telah keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Maka berlakulah pergaduhan, dan terbunuhlah beberapa orang dari kalangan penyokong Husain dan mereka digelar sebagai Syiah.
Ini dapat menjelaskan kepada kita hubungan yang kuat antara Syiah dan Husain RA, malah lebih kuat daripada Ali RA sendiri. Sepertimana yang dapat dilihat, mereka merayakan hari kematian Husain tetapi tidak merayakan hari kematian Ali.
Kesan daripada peristiwa ini, wujud kelompok yang menentang pemerintahan Umayyah dari segi politik sahaja, sedangkan aqidah, dan mazhab fiqh tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah. Dan kita dapat perhatikan sendiri, mereka yang digelar sebagai pemimpin awal Syiah adalah mereka yang bermazhab Sunni.
0 comments:
Post a Comment