Allah S.W.T. sangat sayang kepada agama dan kehormatan hamba-hambaNya. Oleh itu, tatkala ummat ini dikuasai oleh golongan fasiq, Dia memberi peluang kepada mereka. Allah S.W.T. suka sekiranya ada sekumpulan hambaNya yang baik akan bersegera memperbaiki keadaan ini, melawan dan menjatuhkan golongan yang jahat itu demi untuk mengembalikan manusia ke pangkal jalan dan mengembalikan kemakmuran. Jika ada kumpulan yang segera merealisasikan usaha ini, Allah menyuruh para malaikat untuk menolong mereka dan membukakan pintu limpah kurniaNya, berkatNya dan taufiqNya kepada mereka.
Jika ini tidak berlaku, Allah akan memberi masa lagi dan terus memberi masa. Hingga bila golongan fasiq itu terus bermaharajalela dan orang baik pula terus takut dan bacul untuk menjalankan misi amar makruf nahi mungkar, ketika itu Allah akan tersangat murka. Apabila Allah murka, kemurkaanNya akan terkena kepada seluruh manusia sama ada yang jahat; kerana kejahatan dan kezaliman mereka, dan juga orang yang baik; kerana diam mereka, malas dan redha menjadi hina.
Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w membuktikan perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-du’ah, Syeikhul Islam Taqiyuddin Ahmad Ibnu Taimiyah Al-Harrani ketika menjelaskan firman Allah S.W.T. :
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً
“Takutilah fitnah (azab bencana) yang tidak khusus hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di kalangan kamu..” (alAnfal 8:25)
Ibnu Taimiyah berkata:
“Sekumpulan salafussoleh telah membaca ayat tersebut dengan satu qiraat lain لتصيبن yang maksudnya: “Azab itu pasti akan menimpa khusus ke atas mereka yang zalim sahaja.”
Kedua-dua qiraat di atas betul kerana orang yang telah melampaui batas-batas Allah adalah termasuk di dalam kategori zalim. Manakala orang yang tidak menegah orang zalim dari kezaliman di sini ada dua kemungkinan. Kemungkinan pertama dia dianggap tidak zalim kerana dia tidak bersubahat dengan orang zalim itu. Kemungkinan kedua mereka juga dianggap zalim kerana tidak menegah orang zalim padahal perbuatan zalim itu wajib dihalang.
Sebagaimana firman Allah S.W.T. :
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ أَنْجَيْنَا الَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنْ السُّوءِ وَأَخَذْنَا الَّذِينَ ظَلَمُوا بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ
“Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang¬-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang zalim dengan azab yang keras, disebabkan mereka fasik.” (Al-A‘raf, 7:165)
Allah menyelamatkan orang-orang yang menjalankan nahi mungkar dan menegah. Manakala mereka yang hanya benci pada dosa dan kejahatan dan berkata:
لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا
“Untuk apa kamu menasihati kaum yang Allah nak binasakan mereka atau menyiksa mereka dengan azab yang keras.” (Al-A’raf 7:164)
Sebahagian besar dari ulama’ menyatakan bahawa golongan kedua ini pun selamat kerana mereka itu benci kepada kejahatan dan menegah sekadar kemampuan mereka.
Manakala golongan yang tidak menyangkal langsung, maka mereka itu juga adalah termasuk dalam kategori zalim dan akan diazab, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا ظَالِمًا فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ
“Sesungguhnya manusia, apabila mereka melihat si zalim dan mereka tidak menghalangnya, hampirlah Allah mengenakan mereka semua dengan azab daripadaNya.”
Hadis itu menyokong ayat di atas. Apa yang dimaksudkan di sini bahawa kedua-dua bacaan tersebut (dengan penafian dan pengesahan – nafi dan ithbat) boleh dipakai dengan makna: “Bukan sahaja menimpa orang yang zalim dan melampai sahaja bahkan azab itu terkena juga sesiapa yang melihat kemungkaran tetapi tidak merubahnya.”
Manakala siapa yang membaca dengan qiraat : لتصيبن
“Pasti akan menimpa khusus orang yang zalim dari kamu sahaja” Maka akan termasuk dalam pengertian zalim ialah orang yang tidak menyangkal kezaliman sedangkan dia mampu berbuat demikian. Mungkin erti ayat ini ialah mereka itu diazab di dunia dan dibangkitkan di akhirat mengikut niat mereka. Sama seperti angkatan tentera yang memerangi kakbah lalu mereka dibinasakan seluruhnya termasuk askar-askar yang dipaksa. Mereka ini dibangkitkan mengikut niat mereka.”
Di dalam tafsir ayat ini, Syed Qutb menyatakan bahawa Allah S.WT. menyebut
- balasan mereka yang melarang dari kejahatan ialah selamat.
- Manakala balasan bagi mereka yang zalim pula ialah ditimpa azab yang keras.
- Mereka yang mengingkari di dalam hati sahaja dan tidak melarang dari kemungkaran, Allah s.w.t. tidak menerangkan kepada kita balasan mereka dan tidak memberitahu kita nasib mereka. Senyapnya Allah dari menceritakan nasib mereka merupakan satu balasan untuk golongan yang seperti ini.
Majoriti ulama’ yang memperkatakan tentang ayat ini telah menyatakan bahawa mereka yang mendiamkan diri itu akan diazab juga kerana sikap mereka itu. Kenyataan ini ada diterangkan dengan jelas oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya.
Sebahagian ulama’ mensifatkan balasan itu sebagai ‘qanun azab jama’i’ dalam sunnatullah. Ianya adalah qanun yang menggerun dan menakutkan, mendorong mereka yang tahu dan faham, atau menjadikan mana-mana orang yang berkuasa untuk segera mengubah kemungkaran yang sedang berlaku, supaya azab yang demikian tidak menimpa seluruh masyarakat.
Tugas ini lebih berat lagi terkena ke atas pemerintah; kerana mereka mempunyai kuasa untuk menyuruh dan menghalang. Allah mengubah dengan kuasa apa-apa yang tidak dapat diubah oleh al-Quran. Sekiranya mereka memperbaiki masyarakat menurut hukum syariat Islam, membasmi kemungkaran, menegakkan keadilan dan memusnahkan punca maksiat, maka Allah akan memberi pahala kepada mereka; dengan sebaik-baik pahala di dunia dan sebaik-baik pahala di akhirat dan seterusnya mengukuhkan kekuasaan mereka di bumi. Tetapi sekiranya mereka mengabaikan tugas ini, Allah akan menjatuhkan hukumanNya ke atas mereka dan menimpakan azab kepada mereka dan rugilah mereka di dunia dan di akhirat, semoga Allah memperlindungi kita dari kehinaan itu.
Orang yang memiliki hati yang hidup, dengan fitrah imannya mereka dapat merasai bahawa semua malapetaka, kekalahan dan kemunduran yang menimpa orang Islam hari ini, itu semua hanyalah suatu muqaddimah dan amaran terhadap azab yang lebih besar yang akan berlaku di hadapannya.
Umat Islam pada hari ini hanya tinggal Islam pada nama sahaja. Penyelewengan telah berlaku jauh. “Seseorang Islam itu sudah cukup untuk dikatakan menyeleweng apabila dia meninggalkan jihad di jalan Allah, melekat pada dunia, mencintai dunia melebihi akhirat, tunduk kepada syahwat dan tenggelam dalam maksiat, hingga mereka dihina oleh Allah dengan kegagalan yang paling besar kepada mereka dan menjadikan pimpinan mereka pada tangan golongan yang menyeleweng dan rosak.”
Menyedari hakikat ini, orang yang berhimmah tinggi wajarlah menyayangi dirinya agar tidak terkena qanun azab yang menggerunkan itu. Qanun azab itu adalah kepungan kukuh yang sedang mengepungnya sekarang. Usaha melepaskan diri dari menjadi mangsa rancangan penjinakan anak-anak singa sahaja belum memadai. Bahkan tidak memadai juga apabila telah selamat dari semua itu.
Tidak ada jalan untuk melepaskan diri dari kepungan qanun azab Allah yang menggerunkan itu kecuali satu tingkap sahaja sekarang. Tingkap ini ialah amar ma'ruf, nahi mungkar, menentang ahli mungkar, berjalan di jalan dakwah dan menyeru manusia kepada solat serta tunduk kepada syariat Allah.
[Golongan Baik yang Dibinasakan]
0 comments:
Post a Comment