Saki baki... Dan Harapan
Begitulah… Siri-siri buku ini ditulis khusus untuk para du'at Islam; mereka yang bersolat dan merasa izzah dengan agama mereka; yang berakhlak dengan akhlak mukminin. Ia bukan untuk orang yang lalai, apalagi yang menyeleweng dari Islam.
Ini adalah kerana untuk menyelesaikan masalah dunia Islam hari ini, sebenarnya tidak perlu kepada berpindahnya lebih ramai orang yang lalai dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang lebih diperlukan dari itu ialah menyedarkan dengan cepat mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan himmah mereka dan memperkenalkan kepada mereka toriq amal dan fiqh da'wah. Sebenarnya masih terdapat ramai saki baki mukmin yang bilangan mereka cukup untuk menegakkan kebaikan yang kita ingin capai dan cita-citakan, tetapi dengan syarat mereka mengenali erti tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), merasai kecil dan hinanya dunia, menjauhkan diri dari fitnah-fitnah, sabar menghadapi mihnah dan mahir seni memimpin ummat.
Oleh sebab itu, peringatan-peringatan ini tidak akan berbicara tentang fikrah perbandingan antara Islam dan aliran-aliran sosial dan ekonomi moden. Tidak juga akan berbicara dengan orang yang masih mencampur-adukkan antara Islam dan lainnya.
Ia hanya ditujukan kepada muslim, yang benar imannya, suci aqidahnya, yang merasa perit dan sedih dengan realiti ummat muslimin pada hari ini. Buku ini akan cuba menunjukkan kepadanya toriq amal yang berhasil –insya Allah- dan jalan-jalan yang akan menyelamatkan ummah ini.
Peringatan-peringatan ini akan menunjukkan kepadanya keperluan-keperluan untuk peningkatan melalui tarbiyyah dirinya hingga sampai ke tahap yang diperlukan dalam toriq ini.
Mungkin juga peringatan-peringatan ini ditujukan kepada para du'at yang sudah faham toriq amal, yang bukan lagi bekerja secara sendiri-sendiri, faham kepada perlunya amal jama’I dan telah berada bersama-sama mereka yang bangun memukul jahiliyyah dan membawa umat ini kepada Islamnya semula, tetapi mereka masih memerlukan pengukuhan, peningkatan usaha dan proses melembutkan hati.
Begitulah…, kami telah mengutip segala erti kebaikan yang ditunjukkan oleh Yahya bin Mu'aaz (seorang zahid) ketika beliau berkata:
أحسن شئ كلام رقيق يستخرج من بحر عميق على لسان رجل رفيق
Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, melalui ungkapan lidah seorang yang peramah dan berbudi
Kamu akan mengetahui betapa peramah dan berbudinya hati-hati rijal tersebut yang telah menghadiahkan kepada kamu buah hasil pengalaman dan kesimpulan pengamatan mereka. Oleh sebab itu, kata-kata mereka menjadi berkekalan dan mendapat perhatian manusia, petanda ada hubungannya dengan al-haq (kebenaran).
(Sesuatu kata-kata tidak akan kekal merentasi generasi demi generasi kecualilah jika ia berhubung dengan al-haq dan kebaikan, kerana ia sentiasa mendapat bantuan daripada makhluk Allah mengikut undang-undangNya (sunnahNya) dan sentiasa diilhamkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.
Berapa banyak kata-kata gemerlapan yang disiarkan oleh pemerintah yang zalim atau berhala yang masyhur; ia bergema-gema seketika, memancarkan cahaya sebentar, kemudian padam dan senyap, sama seperti tahi bintang yang bertukar menjadi habuk dan debu selepas terbakar. Ini semua kerana gemanya hanyalah dari pantulan suara kebatilan dan kilatannya pula hanya dari hiasan tipuan, bukan suatu yang benar.
Hanya aqal yang memahami, hati yang bersih dan orang yang yakin dengan kebenaran yang dibawanya sahaja boleh mengungkapkan kata-kata benar yang kekal. Dia boleh mengungkapkan kata-kata perumpamaan yang terus menerus digunakan dan penjelasan yang kekal di dalam kehidupan. Tidak tertentu untuk satu waktu sahaja, tidak juga perkara tertentu, tidak juga orang tertentu, tidak juga kejadian tertentu, tetapi kata-katanya itu mencakupi mana-mana generasi, masa, negara dan kawasan.
Kamu akan dapati kehebatan kata-kata berdasarkan kehebatan orang yang berkata. Dia ingin menjadikan kata-katanya itu sebagai panduan kepada kehidupan manusia dan cahaya yang menerangi kegelapan kehidupan).
[Mukaddimah]
0 comments:
Post a Comment