Membangun Umat Beragenda

Monday, 23 September 2013

Setiap jemaah Islam perlu ada tsawabit @ perkara yang tidak boleh berubah dari zaman ke zaman, yang perlu dijelaskan kepada semua ahli agar tidak lari dari landasan perjuangannya. Ia boleh dikira sebagai pemikiran asasi kepada sesebuah jemaah yang menjustifikasi penubuhannya dan merelevansi kewujudannya bersama-sama dengan jemaah lain.

Tanpa kejelasan tsawabit, ahli-ahli akan terus melilau mencari-cari agenda perjuangan dan silap-silap termasuk dalam agenda perjuangan orang lain.

Tsawabit perlu diterapkan dengan begitu jelas, begitu juga perkara yang boleh berubah (atau disebut al-mutaghayyirat) perlu didisiplinkan agar ahli-ahli dalam jemaah tidak sesuka hati membuat ijtihad-ijtihad yang kononnya dikira sebagai usaha tajdid dan rebranding sesebuah jemaah.

Apa yang saya sebutkan ini mungkin biasa disebut-sebut oleh ahli harakah.

Namun saya ingin sampaikan satu dimensi yang lain, iaitu mana-mana jemaah yang tidak jelas tetap dan anjalnya, ia akan kehilangan identiti dek kecelaruan halatuju perjuangan.

Manusia yang berjemaah, jika tidak tahu hujung pangkal perjuangannya, akhirnya akan sibuk dengan kerja-kerja kebajikan dan melupakan agenda sebenar perjuangan.

Tidak semua perkara yang baik itu sama darjat prioritinya.

Kita menentukan prioriti berdasarkan fasa semasa jemaah, kekuatannya, dan kewujudannya di sisi masyarakat. Dengan itu jemaah bergerak sebagai sebuah institusi yang kuat dan utuh, sesuai dengan perjalanan masa dan tabiat perubahan.

Perkara ini mudah difahami jika kita terjemahkan dalam konteks syarikat perniagaan, bagaimana ia bermula, apakah produk yang patut dipromosi, bagaimana ia berkembang dan apakah prasyarat untuk menjadi syarikat besar yang berjaya.

Cuma, di dalam syarikat perniagaan, ijtihad-ijtihad (pandangan baru) tidak bergantung kepada kebolehan ahli-ahli syarikat dalam menilai dalil-dalil syarak untuk terus berkembang maju.

Tetapi dalam jemaah dakwah, setiap ijtihad mesti didasari kaedah syarak dan asas-asas ketulenan fikrah perjuangan untuk terus mekar berjalan dan menyebarkan sayapnya mengaut manusia-manusia untuk diselamatkan.

Kenapa berbeza sedangkan keduanya adalah institusi yang mempromosi 'barangannya' ?

Jawapannya adalah, syarikat perniagaan mempromosi barangan untuk dapat keuntungan perniagaan dan perkiraannya adalah keuntungan syarikat semata-mata. Mereka berurusan dengan staf-staf mereka dengan duit dan tawaran.

Sedangkan jemaah dakwah mempromosi agenda dan perjuangan untuk membina sesebuah kehidupan berasaskan syarak dan membangunkan kepimpinan Islam mengatasi yang lain. Perkiraannya adalah maslahat umat dapat dicapai secara maksima dan medium dakwah menjadi kondusif kepada masyarakat. Jika ada ahli jemaah bermasalah, mereka tidak menggunakan duit sebagai tongkat sakti, tapi berurusan dengan cara yang mendidik.

Saya bawa kepada kesimpulan, bahawa menguruskan jemaah bukanlah seperti menguruskan syarikat atas beberapa sebab yang saya sebut tadi dan juga sebab-sebab lain yang tidak disebutkan. Walaupun terdapat beberapa kesamaan dari sudut kepejabatan dan pengurusan namun ia bukanlah suatu kias yang sempurna untuk disamaertikan.

Siapa yang tidak memahami tabiat jemaah dakwah dan dinamika pergerakannya, mereka akan jadi tidak relevan di mata masyarakat.

Relevansi sesebuah jemaah dakwah bergantung kepada sejauhmana mereka berpegang teguh dengan kaedah syarak, memahami fikrah secara sempurna dan memahami tabiat masyarakat setempat untuk bergerak dengan penuh dinamik.

Syarak akan kekal relevan, sedangkan idea dan pandangan sendiri (tanpa didasari syarak) walaupun dilihat strategik dan bijak akan hilang. Syarak yang akan diterima masyarakat, sedangkan idea dan pandangan sendiri mungkin diterima hari ini dan tidak pada esok hari.

Itulah sunnatullah (ketetapan Allah) dalam perjuangan. Apabila relevansi kita bergantung kepada syarak dan agama, ia akan terus kekal relevan hingga ke akhirnya.

كذلك يضرب الله الحق والباطل فأما الزبد فيذهب جفاء وأما ما ينفع الناس فيمكث في الأرض
"Adapun yang buih-buih itu akan hilang, dan yang memberi manfaat kepada manusia itulah yang kekal di muka bumi, demikian itulah Allah memberikan perumpamaan (antara hak dan batil)" - Surah Ar-Ra'd

Wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment