Membangun Umat Beragenda

Tuesday, 19 November 2013

Langkah di atas perlu dilaksanakan sebelum tibanya ‘qanun tamathul - persamaan’ qanun sunnatullah di alam ini yang akan membinasakan mereka. Sebelum mereka ditimpakan azab kerana melakukan maksiat-maksiat yang menyebabkan Allah membinasakan umat yang lalu.

Sesuatu yang serupa itu mengambil hukum yang sama dengan yang serupanya. Apa yang terjadi kepada sesuatu, terjadi juga kepada apa yang sama dengannya. Mustahil dua perkara yang sama mempunyai hukum yang berbeza sebagaimana mustahilnya dua perkara berbeza sama hukumnya.

Qanun ini berlaku sama saja, ke atas individu atau bangsa-bangsa, hal dunia atau akhirat. Perkara ini ditunjukkan oleh al-Quran, di antaranya:

1. Firman Allah yang menerangkan apa yang berlaku ke atas kaum Yahudi Bani Nadhir, yang ditimpa azab dunia akibat kufur, memungkiri janji dan menipu Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang beriman:
هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِنْ دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِ مَا ظَنَنْتُمْ أَنْ يَخْرُجُوا وَظَنُّوا أَنَّهُمْ مَانِعَتُهُمْ حُصُونُهُمْ مِنْ اللَّهِ فَأَتَاهُمْ اللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمْ الرُّعْبَ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُمْ بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
Dia yang mengeluarkan orang-orang yang kafir ahli kitab (Yahudi) dari kampung mereka, bagi kali pertamanya. Kamu tidak pernah menyangka bahawa mereka akan keluar, dan mereka pula merasai benteng-benteng mereka akan dapat melindungi mereka dari (seksaan) Allah. Allah datangkan (seksaan) kepada mereka dari luar jangkaan mereka dan dicampakkan ketakutan ke dalam hati mereka. Mereka robohkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan dengan tangan orang-orang Mukmin (dalam pertempuran). Maka ambillah pengajaran(iktibar) hai orang-orang yang berakal.” (Al-Hasyr, 59: 2)

Perintah Allah supaya orang-orang yang berakal mengambil iktibar di dalam ayat: “Maka ambillah pengajaran(iktibar) hai orang-orang yang berakal”, jelas menunjukkan kepada ‘qanun persamaan’. Dengan kata lain, ayat itu bermaksud, “Wahai orang-orang yang mempunyai akal yang ok! Perhatilah apa yang terjadi itu dan jaga-jaga supaya kamu tidak ditimpa azab yang sama sekiranya kamu berbuat perbuatan yang sama.” Sesungguhnya sunnatullah (undang-undang Allah) hanya satu dan ia berlaku kepada semua. Apa yang terjadi ke atas sesuatu akan terjadi ke atas sesuatu yang seumpama dengannya.

Jelasnya, arahan supaya mengambil pengajaran itu tidak ada faedahnya jika perkara perbandingan itu tidak menerima hukuman yang sama dengan hukum yang terkena kepada perkara yang seumpama dengannya.

2. Allah S.W.T. berfirman :
وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ وَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا كَذَلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ
“Sesungguhnya Kami telah binasakan beberapa umat sebelum kamu, tatkala mereka berlaku zalim. Dan telah datang beberapa rasul kepada mereka dengan (membawa) keterangan, tetapi mereka tidak mahu beriman. Begitulah kami membalas kaum yang jahat.” (Yunus 10: 13)

Ayat al-Quran yang bermaksud “Begitulah kami membalas kaum yang jahat(mujrim)” menunjukkan bahawa apa yang terjadi kepada mujrim dahulu akan terjadi kepada mujrim yang muncul selepas mereka. Suatu perkara itu dihukum sama dengan yang seumpama dengannya. Sunnatullah itu satu dan ia berlaku kepada setiap orang yang jahat. Al¬lah sahajalah tempat kita meminta pertolongan.

3. Allah S.W.T. telah berfirman :
أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ دَمَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَلِلْكَافِرِينَ أَمْثَالُهَا
Mengapa mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu memperhatikan bagaimana kesudahan buruk orang-orang yang sebelum mereka? Allah telah membinasakan mereka; dan untuk orang-orang kafir (akan mendapat kebinasaan) yang sama seperti itu.” (Muhammad 47: 10)

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa kemusnahan yang menimpa orang-orang kafir dahulu akan menimpa juga kepada orang-orang kafir yang kemudian kerana mereka itu sama-sama bersifat kufur, degil dan dusta. Oleh itu mereka akan menerima kesudahan yang sama.

4. Allah S.W.T. telah berfirman :
لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ
Bukanlah semata-mata angan-angan kamu saja dan bukan semata-mata angan-angan ahli Kitab. Barangsiapa mengerjakan kejahatan, nescaya akan dibalas dengan kejahatan pula.” (An-Nisa’ 4: 123)

Balasan jahat akan menimpa sesiapa yang membuat kejahatan, siapapun juga yang membuatnya tanpa pengecualian, perbezaan dan penangguhan.

5. Allah S.W.T. telah berfirman :
أَفَنَجْعَلُ الْمُسْلِمِينَ كَالْمُجْرِمِينَ(35)مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ
Adakah patut Kami akan jadikan orang-orang Islam sama seperti orang-orang yang berdosa? Macamana lah kamu ni..!, kamu hukum macammana ni..? “ (Al-Qalam 68: 35-36)

Firman Allah S.W.T. :
أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ
“Bahkan adakah orang-orang yang memperbuat kejahatan mengira bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bersamaan hidup dan mati mereka. Amat jahat hukuman mereka itu! (menyamakan orang jahat dengan orang baik).” (Al-Jaathiyah 45: 21)

Firman Allah S.WT. :
أَمْ نَجْعَلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَالْمُفْسِدِينَ فِي الْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ الْمُتَّقِينَ كَالْفُجَّارِ
Adakah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh sama seperti orang-orang yang berbuat rosak di muka bumi ni? Bahkan, adakah Kami jadikan orang-orang yang takwa (baik), seperti orang-orang yang fasik (jahat)?” (As-Shaad 38: 28)

Al-Quran menjadi dalil benarnya ‘qanun al-tamathul-persamaan’ pada kedua pihaknya. Iaitu, hukuman dan akibat yang sama bagi dua perkara yang sama dan hukuman yang berbeza bagi dua perkara yang berbeza.

Apabila muslim memahami ayat-ayat al-¬Quran yang membuktikan kebenaran ‘qanun tamathul’ dan ayat-ayat yang mencela kaum yang jahat pada masa dahulu seperti Yahudi dan kaum lain kerana perbuatan jahat dan sifat-sifat hina mereka, maka muslim akan dapat faham bahawa kutukan adalah kerana perbuatan. Dan pembalasan itu akan pasti menimpa mereka juga sekiranya mereka melakukan perbuatan yang sama. Balasan buruk akan menimpa mereka sebagaimana yang telah menimpa orang-orang terdahulu. Mereka tidak boleh leka dengan hanya menjadi Islam pada nama, sedangkan mereka tidak beramal dan memsibghah diri mereka menurut kehendak Islam.

Muhammad Iqbal rahimahullah menjadikan qanun ini sebagai sebahagian dari asas hidayah Islam. Beliau menjelaskannya di dalam kuliah kelima dari ceramah-ceramahnya yang pernah di adakan di Madras India:
“Semua bangsa dan kumpulan-kumpulan manusia akan dihukum terus mengikut amalan mereka semasa hidup. Kerana itulah al-Quran banyak menyebut kisah-kisah terdahulu dan menyuruh kita berfikir pada apa yang telah dilalui oleh mereka dahulu dan sekarang.”

Qanun-qanun yang menggerunkan ini tidak dapat difahami oleh kebanyakan manusia. Mereka ini tidak pula bersedia untuk mempercayainya. Ia hanya difahami oleh du’ah sahaja. Sepatutnya mereka mesti segera bangkit melaksanakan tugas nahy mungkar yang sedang berlaku, supaya semua manusia selamat dari malapetaka hari tersebut.

Wahai orang-orang baik dan soleh!
Wahai ahli zuhud dan ahli ibadat!
Di hadapanmu sedang mara bahaya qanun Rabbani yang menggerunkan sekiranya kamu terus membisu.
Janganlah kamu diperdayakan oleh zuhud dan solatmu
Perkatakan kebenaran, halanglah kemungkaran,
Jika tidak... tunggulah kebinasaan dan kemusnahan.

[Golongan Baik yang Dibinasakan]

0 comments:

Post a Comment