Berdasarkan kepada pengajaran dari Perang Dingin, kredibiliti dan keberkesanan kumpulan sasar yang didokong Barat boleh hilang jika sokongan oleh Amerika Syarikat kepada mereka dilihat terlalu jelas.
Oleh itu, berdasarkan taktik semasa Perang Dingin, kumpulan sasar ini akan diketuai oleh individu yang berkredibiliti dan dipercayai, namun Amerika Syarikat akan mengekalkan sedikit jarak dari organisasi yang mereka sokong tersebut. Menurut kata Rabasa
“This was done by not micro-managing the groups, but by giving them enough autonomy,” “As long as certain guidelines were met, they were free to pursue their own activities.”
Dalam hal ini, kerajaan Amerika Syarikat akan bertindak laksana sebuah yayasan di mana kerajaan Amerika Syarikat akan meletakkan panduan dan kaedah bagaimana dana yang disalurkan perlu dibelanjakan, iaitu adakah mereka mempromosi objektif Amerika, namun pada masa yang sama mengambil kira kepentingan untuk mengekalkan sedikit jarak di antara Amerika Syarikat dan organisasi yang dibantu bagi memastikan aktiviti-aktiviti organisasi yang ditaja mereka berjaya. Menurut laporan RAND Corporation tersebut,
“In almost all of these endeavors the U.S. government acted like a foundation. It evaluated projects to determine whether they promoted U.S. objectives, provided funding for them, and then adopted a handsoff approach, allowing the organizations it supported to fulfill their objectives without interference.”
Usaha pembinaan rangkaian ‘Muslim Moderat’ ini dimulakan dengan memberi tumpuan kepada rakan kongsi yang dipercayai Amerika Syarikat serta mempunyai orientasi ideologi yang diketahui. Apabila ideologi mana-mana individu mahupun organisasi yang disasarkan telah berjaya ditentukan, Amerika Syarikat akan mula meningkatkan tahap autonomi kepada mereka di peringkat tempatan. Pada masa yang sama Amerika Syarikat akan memastikan visibiliti dan platform untuk individu-individu ini, contohnya, dengan memastikan bahawa individu-individu daripada kumpulan ‘Moderat’ ini dimasukkan ke dalam lawatan-lawatan ke Kongres di Amerika bagi membolehkan mereka lebih dikenali di kalangan pembuat dasar serta membantu mengekalkan sokongan dan sumber Amerika Syarikat kepada mereka sebagai usaha diplomasi awam.
Program bantuan juga dianjurkan di sekitar beberapa sektor strategik seperti pendidikan demokrasi, media, kesaksamaan gender dan advokasi dasar (policy advocacy). Pendidikan demokrasi adalah merujuk kepada semua bentuk program yang menyokong nilai-nilai demokratik dan pluralistik manakala di bidang media, usaha program bantuan ini merujuk khususnya bagi memerangi penguasaan media oleh unsur-unsur anti-demokrasi dan Islam konservatif. Contohnya, mengikut laporan tahunan 2010 National Endowment of Democracy (NED) yang diterbitkan pada Ogos 2011, terdapat beberapa organisasi di Malaysia yang menerima geran / dana yang dibiayai mereka bagi mempromosi usaha-usaha demokrasi yang selari dengan objektif NED / Amerika Syarikat antaranya media online seperti Malaysiakini, dan badan NGO hak asasi manusia seperti SUARAM.
Pada masa yang sama, program bantuan juga akan menekankan kepentingan aspek kesaksamaan gender, khususnya isu hak-hak asasi wanita di mana, usaha mempromosi kesaksamaan gender adalah dianggap sebagai salah satu komponen penting di dalam apa jua projek untuk memperkasakan umat Islam ‘Moderat’ seperti yang dicita-citakan oleh Amerika Syarikat. Di peringkat kumpulan pemikir, program bantuan mendapati bahawa Islam mempunyai agenda politik, oleh itu, aktiviti advokasi dasar adalah dianggap penting bagi membolehkan kumpulan ‘Moderat’ membentuk persekitaran politik dan undang-undang yang dicita-citakan di dunia Islam oleh Barat.
Kesimpulannya, usaha-usaha demokrasi liberal yang cuba dipromosikan oleh Amerika Syarikat di seluruh dunia kini merupakan satu respon mereka pasca 9/11 berkenaan ‘peperangan global melawan pengganas’. Mana-mana pihak yang dianggap tidak bersama atau memihak kepada demokrasi liberal yang dibawa oleh mereka akan terus diasingkan dan dilabelkan oleh mereka dengan pelbagai gelaran yang akan mengaitkan pihak tersebut secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti keganasan atau radikal. Bagaimanakah pandangan Islam mengenai Demokrasi ala Barat yang ditaja Amerika Syarikat ini?
0 comments:
Post a Comment