Membangun Umat Beragenda

Sunday, 22 September 2013

Ketuaan dan keawalan kewujudannya, memiliki ahli yang ramai dan rangkaian di merata dunia tidak dijadikan Ikhwan sebagai hujjah untuk mewajibkan generasi baru menyertai saf mereka.

Sebaliknya mereka hanya menyampaikan fikrah mereka, manhaj amal mereka, matlamat dan maratib amal yang mereka yakini kepada masyarakat dan mana-mana ahli masyarakat beriman dengan fikrah mereka, ikhlas, sanggup beamal dan berjuang kerana Allah , tajarrud dengan fikrah ikhwan sahaja, sanggup berkorban, berjihad, berukhuwwah, taat, dan siqqah kepada pimpinan Ikhwan akan diajak bergabung dengan mereka.

Alangkah baiknya sekiranya wujud ruh saling memahami antara pimpinan gerakan Islam terhadap manhaj saudaranya dan mengambil manfaat terhadap kebaikan yang ada dan memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

Bagi saya setiap gerakan Islam ada perlembagaan dan undang-undang tubuhnya malah ada mekanisma tertentu untuk menganggotainya. Setiap orang boleh menilai fikrah dan manhaj amal organisasi tersebut melalui undang-undang tubuhnya. Sesiapa yang meyakini manhaj tersebut sebagai manhaj yang hampir dengan sunnah rasul s.a.w dan memilih menyertai organisasi tersebut sayugia menghormati peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam organisasi tersebut yang telah ditetapkan oleh pengasasnya.

Sekiranya beliau ada idea pembaikan hendaklah dikemukakan mengikut saluran yang betul dengan meraikan adab-adab mesyuarat dan adab–adab memberi dan menerima pendapat.

Begitu juga tidak sayugia ahli gerakan Islam memaksa sesiapa sahaja menyertai harakahnya sebelum mereka diyakini manhaj perjuangan yang diperjuangkan. Namun apabila mereka diterima sebagai ahli dan dirasai ada dikalangan ahli tidak mentaati peraturan organisasi; ahli tersebut perlulah dinasihati dan diperbetulkan sebelum dimahkamahkan dan dijatuhkan hukuman.

0 comments:

Post a Comment