Analisis sesuatu peristiwa, penafsiran sejarah dan penjelasan sebab tersembunyi terhadap natijah yang tampak.. kesemuanya itu bergantung mengikut akidah penganalisis dan penafsir tersebut dan menurut juga neraca yang digunakan bagi mengukurnya. Ini melibatkan semua fenomena samada sosial, politik mahupun ekonomi.
Dari sinilah berlaku perbezaan ketara dalam penafsiran dan ijtihad. Seorang beriman akan dapat melihat dengan jelas hubungan di antara natijah dengan peristiwa-peristiwa dan keadaan disekelilingnya, seolah-olah ia boleh dilihat, disentuh dengan tangannya, dikupas lalu terbukalah kulit yang menutupnya. Tetapi, si kafir, jahiliah atau fasik tidak dapat melihat kesemua ini kerana hatinya telah tertutup oleh kelalaian, hawa nafsu dan syahwat.
Perbezaan begini semuanya adalah disebabkan oleh perbezaan neraca.
Di antara fenomena sejarah terpenting yang berbeza penafsiran atau analisanya ialah fenomena gejala sosial, kemunduran dan keruntuhan tamaddun yang berlaku selepas sesuatu kemajuan sains, binaan dan kebudayaan yang tinggi. Kejatuhan ini berlaku secara beransur-ansur sehingga berakhir dengan kemusnahan total mengejut oleh satu kuasa luar biasa.
Si kafir dan fasik berlegar-legar berputar di circle kosong dan semuanya adalah andaian bingung terhadap fenomena ini. Tetapi bagi muslim, mereka mempunyai satu kata putus dan pasti di dalam tafsirannya. Ia di ambil dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. dan telah disimpulkan oleh Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a. dengan satu perkataan yang jamik tatkala beliau ditanya: “Adakah sesebuah negeri itu boleh musnah padahal ia kelihatan makmur maju?”
Beliau menjawab: “Ya, apabila orang-orang jahat menguasai orang-orang baik.”
Inilah sebabnya dan inilah penyakit pembunuhnya.
Penguasaan si zalim ke atas golongan yang baik adalah sebab kepada segala kelam kabut dan rosaknya dunia.
Apabila si zalim atau fasik berkuasa, mereka akan melantik orang yang jahat dan fasik seperti mereka juga untuk mengurus apa-apa urusan. Mana-mana si fasiq tak dapat tidak adalah tawanan nafsu dan dah tertutup hatinya. Mereka hidup lalai dan tidak berfikir pun untuk kebaikan bangsa dan negara mereka.
Mereka juga bekerja untuk kepentingan peribadi mereka. Bertindak zalim, menindas dan menyeleweng. Banyak tenaga dan kemampuan kemanusiaan dipersia-siakan. Orang yang benar-benar layak dan berpotensi terpaksa bersembunyi mencari perlindungan kehormatan dan jasad mereka dari dicerobohi dan diseksa. Tinggallah urusan pentadbiran umat dipegang oleh mereka yang jahil dan berkepentingan. Hasilnya tersebarlah gejala keruntuhan masyarakat yang akhirnya membawa kemusnahan ekonomi dan ketamadunan ilmu.
[Golongan Baik yang Dibinasakan]
0 comments:
Post a Comment