Qaedah sulbah adalah satu istilah merujuk kepada sekelompok manusia yang menjadi tulang belakang kepada umat Islam. Mereka akan bersama umat dalam kegembiraan dan kedukaan umat. Mereka mengorbankan segala yang mereka miliki untuk umat. Masa depan umat adalah masa depan mereka. Jiwa mereka tulus dan suci. Mereka ikhlas di dalam perkataan dan perbuatan. Mereka tidak memandang dunia sebagai matlamat hidup. Mereka membawa diri mereka menghampiri Allah dengan bertaabud kepadanya melalui segala amal baik mereka dan segala sumbangan mereka kepada umat. Nasib umat terletak di tangan mereka. Pencerobohan musuh tidak akan berjaya selagi mereka ada.
Bagaimanakah proses melahirkan qaedah sulbah ini?
Mereka tidak akan datang dari aktiviti tarbiah di bawah bumbung-bumbung dan di dalam bilik-bilik yang tertutup. Tetapi mereka datang dari medan dakwah yang mereka berada di dalamnya. Medan itulah yang akan melahirkan mereka dan yang akan mengasingkan mereka dari pendakwah-pendakwah yang tidak tulin.
Apa yang kami nukilkan di sini tidak bermaksud bahawa kami memperkecilkan isu tarbiah. Ramai pihak yang mengetahui bahawa kami mengambil berat isu tarbiah lebih dari orang lain.
Apa yang kami ingin ungkapkan di sini adalah kesempurnaan proses tarbiah itu sendiri sebenarnya tidak akan berlaku jika kita menghadkan aktiviti tarbiah tanpa penglibatan di dalam medan dakwah. Kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. menunjukkan kepada kita bahawa ia bukanlah dua perkara yang berasingan; yang pertama mendahului yang kedua. Tidak juga menunjukkan bahawa sesiapa yang lama ditarbiah akan lebih thabat bila masuk ke medan dakwah. Medan akan menyempurnakan tarbiah dan mengujithabat seterusnya melahirkan qaedah sulbah.
Kami juga tidak bermaksud dengan kefahaman yang sedikit maka pendakwah mesti terus terjun ke medan dakwah yang luas; apa juga bentuk dan saiz medan tersebut.
Membuka medan dakwah kepada pendakwah mesti dilakukan secara beransur-ansur berdasarkan tahap kemampuannya. Ia adalah perkiraan yang sukar dilakukan oleh kita. Tetapi kesukaran tersebut tidak seharusnya membawa kepada satu pendekatan mudah yang dilakukan oleh sebahagian pendakwah iaitu membuka terus medan dakwah kepada segala jenis pendakwah tanpa mengambil kira kemampuan dan kesesuaiannya. Bacaan dari sirah juga tidak menyokong pendekatan ini. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Abu Bakar r.a. tidak mampu dimainkan oleh orang lain. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Dihyah al-Kalbi r.a. tidak mampu dimainkan oleh sahabat-sahabat besar. Begitulah seterusnya kita dapati satu persatu penugasan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dilakukan dengan cukup teliti.
Semoga dengan tulisan ini dapat membawa kita kembali meneliti bentuk pentarbiahan yang kita lakukan. Moga apa juga aktiviti tarbiah itu tidak akan menjadi penghalang kepada sampainya kebaikan yang kita miliki kepada umat Islam dan seterusnya menjadi sebahagian dari penyelesaian kepada masalah umat.
0 comments:
Post a Comment