Membangun Umat Beragenda

Tuesday, 15 October 2013

Syiar dan simbol untuk semua itu ialah sujud mereka kepada Allah. Sujud yang meninggikan hati. Syiar dan simbol golongan jahiliyyah pula ialah sujud kepada kebendaan dan seks yang mematikan hati.

Sesungguhnya sujud muslim yang sejati kepada Allah itulah lambang ketinggian dan kemuliaan, syiar kemerdekaan dan enggan menuruti segala taghut.

Sujud itu menundukkan dahi, tetapi
memuliakan dan meninggikan muslim yang bertasbih padaNya
si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba
tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu-belenggu itu
Padanya, semua makhluk akan tunduk kepada muslim yang sujud
Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya
Wajah dan seluruh anggotanya melekat di bumi
Tetapi ia menggoncangkan gunung-ganang
Meruntuhkan syirik dan was-was di dalam diri,
tetapi ia juga membangunkan generasi-generasi
Dalam diam, kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi
lantaran kehebatan dan kebesaranNya
Sujudnya hanya kepada Allah, ia mengesakanNya, lalu mantap dan kuat
Menghapuskan setiap penzalim yang sombong
Barangsiapa menghayati sujud ini,
dia menikmati kepimpinan dan ketuanan di muka bumi, dengan keagungannya, rahmat dan keindahannya

Itulah yang dinamakan sujud pembebasan. Seorang muslim itu dapat menghancurkan belenggu nafsunya dengannya lalu dia menjadi manusia merdeka.

Dia merdeka. Hanya menerima segala tasawwur, sistem, cara hidup, syariat, undang-undang, nilai dan neraca pertimbangan dari Allah sahaja. Jadilah dia sama dengan manusia lain, semuanya berdiri pada taraf yang sama. Mengadap tuan yang satu dan tidak menjadikan sebahagian daripada mereka sebagai Tuhan, selain dari Allah.”

Manusia akan sentiasa menderita, kelam kabut, bimbang dan sakit selagi mereka tidak sujud seperti sujud ini dan berpegang dengan akidah Islam ini. Penderitaan jiwa yang berterusan yang dialami -walaupun maju dalam kebendaan- benar-benar membuktikan bahawa akal sahaja tidak mampu menjadi neraca seimbang jika tidak dipandu oleh akidah yang benar. Akal sentiasa dipengaruhi nafsu sebagaimana kita dapat lihat sentiasanya. Akal hilang upaya untuk menghadapi pelbagai tekanan selagi kawalan dan pertimbangan akidah tiada di sampingnya.

Tiada kebahagiaan bagi manusia dan tiada penyelamat dari tergelunsur jatuh oleh arus deras jahiliyyah melainkan mereka berpaut kepada akidah Islam yang akan memandunya ke jalan yang benar. Akidah Islam akan memberikan jawapan yang betul terhadap semua persoalan yang ada dalam benak semua manusia. Akidah Islam ini akan membuka pekung dakwaan pemikiran jahiliyyah yang telah lama menyekat antara manusia dengan fitrah mereka.

Pada hari itu sahajalah, manusia akan kembali menikmati erti kebahagiaan.

Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup
Untuk pemikiran yang benar dan kukuh
Untuk akidah terbesar yang menyelesaikan,
Permasalahan alam yang lampau
Menjawab persoalan mereka yang kebingungan
Semasa mereka sedar dan cerdik boleh berfikir
Dari manakah aku datang?Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku diciptakan? Adakah aku hidup kembali?

Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
Terusir segala keraguan yang degil
Terdidiklah fikiran yang waras
Terciptalah akhlak yang mulia
Dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng
kepada jalan yang benar dan lurus
Hidupmu akan dikurniakan nilai
Oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
Supaya matamu memandang di segala ufuk
Ke arah cita-cita yang tinggi
Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
Di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana’
Kau tudung bumimu dengan langit
dan para malaikat menjadi saksi
Itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
Itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
dengan namanya; dialah orang yang berbahagia

[Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari]

0 comments:

Post a Comment