Penyingkiran Islam dari kepimpinan manusia adalah satu kejadian dahsyat dan malapetaka yang besar dalam sejarah dan kehidupan manusia. Malapetaka yang tiada tandingannya.
Dulunya Islam telah mengambil kepimpinan ini ketika bumi telah rosak, hidup telah menjadi busuk, pemimpinnya busuk dan zalim dan manusia seluruhnya menderita dari pimpinan itu.
Firman Allah S.W.T.:
ظهر الفساد في البر والبحر بما كسبت أيدي الناس
“Telah lahirlah kerosakan di darat dan di laut, kerana perbuatan tangan manusia.” (Al-Rum 30: 41)
Islam telah mengambil kepimpinan ini dunia dengan al-Quran, dengan tasawwur baru mengikut al-Quran dan syariat yang diambil dari tasawwur ini. Ia menjadi kelahiran baru untuk manusia yang lebih besar ertinya dari kelahiran ia sendiri. Al-Quran telah membentuk tasawwur baru untuk manusia ini. Tasawwur terhadap alam, nilai-nilai dan sistem-sistem. Ia juga membentuk satu realiti masyarakat yang unik. Realiti yang tak pernah terfikir oleh akal manusia sebelum ia dibentuk betul-betul oleh al-Quran di dalam realiti.
Benar! Realiti yang terbentuk ini terlalu bersih dan indah, agung dan tinggi, sederhana dan mudah, realistik, positif, seimbang dan tanasuq. Ianya tak pernah terlintas di fikiran manusia kalaulah tidak dengan kehendak Allah dan direalisasikan -dengan izin Allah- di dalam hidup manusia di bawah naungan, manhaj dan syariat al-Quran.
Kemudian, berlakulah malapetaka besar itu. Islam disingkirkan dari kepimpinan. Jahiliyyah sekali lagi mengambil alih kuasa. Jahiliah dalam pelbagai corak. Bentuk pemikiran materialisme yang dikagumi oleh manusia hari ini. Ianya umpama kanak-kanak yang kagum melihat pakaian dan permainan yang berwarna-warni dan bersilau-silau.”
Tetapi hal ini tidak pernah didiamkan oleh da’i Islam. Minda kanak-kanak mesti dibuka dan diperlihatkan hakikat undang-undang kejadian alam ini.
Muslim yang sejati tak akan dapat percaya bahawa 'manusia duniawi' akan mampu berkata yang betul. Bagi da’I, yang betul hanyalah apa yang turun dari langit. Mereka tidak sekali-kali berpaling dari kebenaran itu dan tidak mungkin melampauinya, terutama selepas sabda Rasulullah S.A.W:
Kata-kata yang paling benar yang pernah diungkapkan oleh penyair ialah kata-kata Labiid : “Ketahuilah bahawa segala sesuatu selain dari Allah adalah batil (mengarut dan tidak betul).”
Pena telah diangkat dan lembaran telah pun kering.
Segala sesuatu yang lain daripada Allah adalah batil dan mengarut belaka. Tidak ada manhaj hidup yang benar kecuali manhaj hidup Islam. Segala ibadat kepada yang lain dari Allah adalah batil. Itulah yang dimaksudkan oleh Rib’iyy bin ‘Amir semasa dia berkata kepada Rustam (panglima agung tentera Farsi): “Allah mendatangkan kami ke sini supaya kami mengeluarkan manusia dari menyembah sesama manusia kepada hanya menyembah Allah.”
Sesungguhnya Islam adalah satu-satunya cara hidup yang dengannya manusia terbebas dari perhambaan sesama manusia. “Sekiranya mereka tunduk, mereka hanya tunduk kepada Allah sahaja dan sekiranya mereka mengikut undang-undang, mereka hanya taat kepada undang-undang Allah sahaja. Sekiranya mereka tunduk kepada sesuatu sistem, mereka hanya tunduk kepada sistem Allah sahaja. Kerana itulah mereka benar-benar bebas dari perhambaan kepada sesama hamba, kerana mereka menjadi hamba-hamba kepada Allah sahaja tanpa sekutu.”
[Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari]
0 comments:
Post a Comment