Membangun Umat Beragenda

Tuesday, 15 October 2013

Pada hakikatnya, perkara ini jauh lebih besar dari apa yang dilihat dengan pandangan zahir. Ia merupakan salah satu urusan Allah dalam alam wujud ini. Ia adalah satu ketetapan dan ketentuan Allah di dalam sistem kewujudan yang tidak terpisah dari urusan langit dan bumi, urusan masa lalu dan masa hadapan.

Sesungguhnya berita besar ini datang merentasi jauh kaum Quraisy di Mekah, bangsa Arab di Semenanjung Arab dan generasi yang sezaman dengan dakwah di bumi ini. Ia melampau tempat dan masa yang terbatas ini. Ia memberi efek kepada seluruh masa depan manusia, sepanjang zaman, setiap benua dan mengolah masa depan kemanusiaan semenjak turun ke bumi hingga ke berlakunya akhirat..

Islam turun ke bumi pada waktu yang ditetapkan untuk memainkan peranannya di alam ini pada waktu yang telah ditentukan Allah.

Kedatangannya telah mengubah garis perjalanan manusia kepada perjalanan yang telah digariskan oleh takdir Allah. Sama ada manusia itu beriman atau menolak, sama ada mereka berjihad bersamanya atau menentangnya, pada generasi tersebut atau generasi selepasnya. Belum pernah terjadi di dalam sejarah manusia satu peristiwa yang meninggalkan kesan dan pengaruh sebagaimana pengaruh dan kesan yang ditinggalkan oleh Islam ini.

Berita besar ini, iaitu Islam, telah membentuk banyak nilai dan tasawwur. Ia banyak menanamkan kaedah dan sistem di seluruh muka bumi dan di kalangan semua manusia. Ianya tidak pernah tergambar dalam fikiran bangsa Arab sebelum kedatangannya bahkan tak pernah dapat dikhayalkan.

Ketika itu, mereka tidak terfikir bahawa Islam ini datang untuk mengubah senario dunia, mengalihkan perjalanan sejarah dan merealisasikan ketentuan Allah di dalam perjalanan hidup manusia. Tak pernah tergambar ia akan mempengaruhi jiwa, hati dan realiti manusia dan seterusnya menghubungkan mereka dengan seluruh garis perjalanan alam. Ia dihubungkan kemudiannya dengan al-haq yang tersimpan di sebalik kejadian langit dan bumi dan segala apa yang ada di antara keduanya. Hal ini akan berterusan sehingga hari kiamat, menyempurnakan peranannya di dalam memimpin manusia dan kehidupan.

Umat Islam pada hari ini berdepan dengan berita besar ini sebagaimana bangsa Arab di awal kedatangannya. Mereka tidak memahami tabiat dan hubungannya dengan tabiat alam ini. Mereka tidak memikirkan al-haq yang tersembunyi padanya sehingga mereka tidak memahami ianya adalah salah satu cabang al-haq yang ada di dalam binaan alam ini. Mereka tidak dapat mengesani pengaruhnya dalam sejarah manusia dan garisan perjalanannya yang panjang. Mereka sepatutnya merdeka dalam pandangan mereka dan bukannya bergantung kepada cara fikir musuh-musuh yang sentiasa memperkecil-kecilkan peranan Islam dalam pembentukan hidup manusia dan penentuan perjalanan sejarah. Oleh kerana itulah orang Islam sekarang tidak mengenali hakikat peranan mereka sama ada untuk masa dulu, masakini dan akan datang; sedangkan itulah peranan yang mesti dimainkan oleh umat Islam di muka bumi hingga akhir zaman.”

Sekiranya mangsa-mangsa perencanaan dan serangan fikiran jahiliah ini tidak dapat memahaminya ... namun anak-anak singa da’i Islam ini faham. Ini dia kita dapat mendengar nasyid mereka yang mengalun tinggi dalam perjalanan mereka yang diberkati:
Kamilah pewaris yang cuba membimbing manusia
Kamilah rahsia yang tersembunyi di sisi Allah,
Matahari sentiasa menyuluh cahaya kepada kami
Awan kami mengandungi kilat dan sinar yang terang ¬benderang
Kami adalah cermin kepada kebenaran
Ketahuilah, tanda-tanda al-haq itu: wujudnya muslim.

Begitulah fiqh dan kesedaran apabila ia telah wujud. Tanda al-haq ialah wujudnya peribadi muslim. Kewujudan muslim yang sedemikian rupa adalah satu kepastian sejarah; dahulu, kini dan selamanya hingga hari kiamat.

“ … al-Haq adalah tiang seri kewujudan ini. Sekiranya alam ini lari dari tiang serinya, rosak binasalah ia."

Firman Allah S.W.T. :
ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السماوات والأرض ومن فيهن
Kalau sekiranya al-haq (kebenaran) itu mengikut hawa mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang berada di dalamnya.” (Al-Mukminun 23:71)

Oleh itu, al-haq kebenaran mesti dimenangkan dan kebatilan mesti dihapuskan. Walaupun realiti semasa tidaklah sedemikian, tetapi kesudahannya jelas sebagaimana firman Allah:
بل نقذف بالحق على الباطل فيدمغه فإذا هو زاهق
Bahkan Kami lemparkan kebenaran di atas kebatilan itu lalu dipecahkannya. Tiba-tiba yang batil itu lenyap. (Al-Anbiya’ 21:18)

Kalaulah manusia hari ini lihat Islam telah dipinggirkan dari kehidupan mereka, maka itu semua hanyalah umpama gerhana matahari. Segala berantakan, kezaliman dan kerosakan di muka bumi akibat jauhnya manusia dari Islam itu adalah bukti bagi orang yang dapat melihat benarnya apa yang kita sebutkan. Benar bahawa Islam adalah sebahagian dari sistem alam yang indah ini. Alam ini akan rosak tanpa kewujudan Islam.

Burung-burung akan kembali berlindung di sarangnya semasa berlaku gerhana matahari di tengahari. Secara fitrah, mereka tahu bahawa ada keganjilan sedang berlaku dan waktu terbenam matahari masih jauh. Saki-baki sinaran samar yang masih tinggal menjadi harapan untuk meneruskan kehidupan kembali. Burung-burung itu terus menunggu dan enggan tidur.

Maka begitulah juga orang yang hidup hatinya. Melalui fitrahnya, dia faham bahawa penyingkiran Islam dari kekuasaan adalah suatu peristiwa besar dan luarbiasa, namun ia bukan bererti tenggelamnya Islam. Ianya hanya suatu peristiwa ganjil bersifat sementara. Wujudnya jamaah yang mendokong al-haq (walaupun bilangan mereka sedikit) adalah harapan untuk mengembalikan semula Islam ke pentas kehidupan. Bahkan ini merupakan bukti yang kuat bahawa Islam akan benar-benar kembali hidup. Manusia yang lari dan memberontak itu akan kembali semula kepada Tuhan. Mangsa pendidikan dan acuan jahiliah akan tersedar dan akan kembali berpegang atas jalan yang lurus.

[Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari]

0 comments:

Post a Comment