Da’i enggan tunduk kepada penipuan. Mereka pantang melihat perancangan musuh berlaku. Lalu mereka bangkit berteriak kepada manusia. Tetapi, ... majoriti manusia terus lena tidur.
Depan matanya - pendokong kebatilan dan orang yang konfius bekerja kuat mati-matian meneruskan perancangan mereka. Dilihat keliling, hanya segelintir sahaja orang Islam dipelihara oleh Allah yang masih sedar … Selebihnya hanyut di dalam kelalaian.
Da’i kembali mengubati kesedihannya lantas bermonolog sendirian:
Telah bekulah daya juang di hati manusia itu
Mereka leka mengejari kekayaan dan kehidupan yang rutin
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang komfius
hampir-hampir menggoncangkan semangat juangku.
Da’i itu pun mulanya menyalahkan dirinya sendiri.. takut-takut dia belum betul-betul menyampaikan dakwahnya. Tetapi, segera dia merasai bahawa dia telah melakukan apa yang termampu. Dia cuba memujuk dan menghiburkan dirinya sambil bermadah:
Mereka melihat daku di musim gugur, Lantaran hangatnya laguku,
Kelihatan aku bergembira bersama rakanku si burung camar
Tetapi sebenarnya aku dilahirkan di bumi,
yang dipenuhi jiwa-jiwa yang seronok diperhambakan...
Sesungguhnya neraca keindahan telah bertukar. Generasi hari ini telah kehilangan kerja-kerja besar yang pernah memuliakan mereka suatu ketika dahulu. Seperti mana yang dikatakan oleh al-Rafi’ie: “Kamu mencipta kata-kata hebat untuk berseronok dengannya.”
Walau bagaimana dahsyatnya pun kerosakan, seorang da’i tidak boleh meninggalkan tugasnya untuk menyelamatkan manusia. Segala kesangsian dan putus asa dalam usaha islah ini segera musnah bila dia tersedar kedudukannya berada di tengah-tengah rombongan orang-orang yang beriman yang sedang berjalan. Baton telah bermula dari para salaf, maka dia mesti menerima amanah ini dari mereka.
Demikianlah janji Allah. Angkatan kebenaran ini tidak akan pupus, angkatan demi angkatan, generasi demi generasi sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق، لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله وهم كذلك
“Sentiasa akan ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka sehingga datanglah hari kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka.”
Bahkan, kewujudan angkatan Islam di bumi ini, yang mentaati sepenuhnya kepada Allah, tidak menyeleweng dari jalan dan hidayah Allah, tidak lari daripada matlamat dakwah dan jihad itu adalah merupakan sebahagian dari sunnatullah yang menyempurnakan keseimbangan alam ini. Hilangnya kelompok ini akan menyebabkan timbangan itu terjungkit, tidak seimbang dan akan menggoncangkan seluruh alam ini.
Justeru itu, wujudnya dakwah rabbani ini adalah satu kemestian dan ketetapan Allah. Ia tidak mungkin hilang, sekali pun dibenci oleh taghut atau diserang bertubi-tubi oleh tali barutnya.
Sekiranya matahari tiada lagi atau graviti bumi telah lenyap, dapatkah kamu bayangkan kerosakan yang akan berlaku?
Demikianlah juga kewujudan dakwah. Ia umpama matahari, bulan, bintang-bintang, graviti, air dan udara yang membentuk sebahagian dari sunnah alam yang telah ditetapkan oleh Allah. Tanpa kesemuanya, tentulah akan berlaku kiamat.
Namun, kenyataan bahawa kewujudan dakwah adalah sebahagian dari sunnatullah ini hanya mampu dilihat oleh pemilik hati yang salim, sama sebagaimana graviti hanya dapat dilihat oleh orang yang berpelajaran.
Inilah inspirasi keteguhan azam seorang muslim untuk terus bersama di jalan dakwah. Mereka terus menghadapi kesusahan hanya semata untuk memastikan ketetapan Allah ini terus berlaku. Moga dengannya dia termasuk di kalangan orang yang berjaya. Tetapi, sesiapa yang berpaling dari jalan yang mulia ini, sunnatullah akan terus berjalan tanpa henti, tidak menghiraukannya. Allah akan memberi hidayah kepada kaum yang lain pula untuk menyerlahkan kekuasaan dan merealisasikan sunnahNya ini.
Ustaz Hassan al-Hudhaibi telah merumuskan maksud di atas dengan kata-katanya:
“… Semua peristiwa mesti tunduk kepada kitab Allah dan sunnah rasulNya meskipun manusia melihat dunia tidak sebegitu. Agama ini sebenarnya aturan yang ditetapkan oleh Allah kepada manusia, sebagaimana Dia menetapkan hukum alam kepada matahari, bulan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan kepada segala apa yang ada di langit, bumi dan apa jua yang ada padanya.”
Beliau berkata:
“Jika matahari mempunyai paksi dan graviti, bumi mempunyai paksi dan beredar di atas orbitnya, maka demikian jugalah manusia dengan agama ini. Apabila agama ini hilang dari manusia, akan pincanglah keseimbangan. Sesiapa yang berfikir dengan mendalam pasti dapat melihat lebih jauh dari itu. Dilihatnya alam ini mempunyai rekabentuk dan binaan yang indah. Agama ini adalah sebahagian darinya. Oleh itu, agama ini perlu diwakili oleh sekelompok manusia dalam mana-mana waktu dunia ini.”
Abdul Wahab Azam juga memahami sunnah alam ini. Sunnah ini menjadikan orang-orang yang yakin dengannya tidak digugat oleh serangan kebatilan, gugurnya para syuhada atau ramainya pejuang yang berundur setelah tiba di separuh jalan. Beliau pun berkata:
Sunnatullah terhadap semua makhluk terus berjalan
Sesaat pun tidak berhenti dan berubah
Mereka yang merdeka terus berjihad pada jalan Allah
kerana jihad pada kebenaran tidak pernah hilang walau sehari
Pemahaman ini menjelaskan kehebatan pengetahuan dan kesedaran Abdul Wahab Azam.
Sesungguhnya Islam kita ini adalah satu berita agung. Ia menyempurnakan perjalanan alam ini. Alam akan rosak binasa tanpanya. OIeh itu, ia mesti diwujudkan di alam kenyataan, dan jahiliyah mesti dihapuskan bagi memastikan alam ini terus seimbang. Firman Allah:
قل هو نبأ عظيم أنتم عنه معرضون
“Katakanlah, ianya berita besar. Kamu berpaling daripadanya.” (Saad 38:67)
[Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari]
0 comments:
Post a Comment