Puisi Menjadikan Perkataan Menarik
Aku dapati sesetengah buku tarbiyyah harakah Islamiah memisahkan antara prosa dan puisi tanpa alasan yang kukuh. Ini menjadikan para murabbi tidak dapat menggunakan beratus-ratus rangkap dan petikan puisi pelembut hati atau pembakar semangat atau puisi aqidah dan fikrah hasil karya para pemuisi thiqah lama atau moden dan juga para pemuisi dakwah.
(Mungkin seseorang itu bila mendengar sesuatu mesej, ia sedikitpun tidak tersensasi; tetapi apabila mesej yang sama digubah dalam bentuk puisi, ia tiba-tiba menggembirakan orang yang gundah gelana, menggerakkan yang lalai dan mendekatkan matlamat yang dulunya dirasai amat jauh).
Sebahagian daripada syair itu mempunyai hikmah; sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullah (saw).
(Intonasi dalam percakapan samalah seperti melagukan suara. Tujuannya ialah mengesankan pemikiran melalui tindakan mengesankan jiwa).
Kerana itulah kami lebih cenderung menggunakan puisi dalam siri-siri nasihat ini, bertujuan untuk menjadi penambah nilai dan rasa kepada fikrah yang telah diungkapkan oleh mana-mana da’i. Moga ianya menjadi lebih mantap, lebih mendalam di dalam jiwanya dan lebih diingati sentiasa.
Bukti yang paling jelas tentang kepentingan puisi bagi menyebar dan mempertahankan aqidah ialah peranan yang telah dimainkan oleh puisi ketika digunakan oleh ahli-ahli bid'ah untuk menyebarkan bid'ah di kalangan masyarakat awam. Usaha ini dilakukan untuk menentang usaha-usaha Ibnu Taimiyyah serta pengikut-pengikutnya ketika mereka berusaha membatalkan segala bid'ah dengan hujjah-hujjah sunnah.
(Tidak dapat dinafikan bahawa hujjah rasional yang dibawa oleh Ibnu Taimiyyah memang ada kesannya, tetapi ke’dry’an lojik tidak dapat mengatasi kebasahan dan keindahan puisi) sebagaimana yang dikatakan oleh penyair Islam Sir Muhammad Iqbaal.
Memang itulah yang berlaku. Pembawa-pembawa kesesatan yang menyebarkan bid'ah mereka dengan penerangan yang menarik dan kemampuan mereka menggubah puisi yang indah, telah menarik hati manusia awam tanpa disedari dan inilah juga yang menyebabkan segala kata-kata Ibnu Taimiyyah tidak mendapat tempat. Tambahan pula tidak ada daripada kalangan pemuisi hebat yang memihak kepada Ibnu Taimiyyah untuk membantunya.
Puisi mempunyai kuasa untuk membantu sesiapa sahaja yang menggunakannya, dapat mengindahkan suatu yang baik atau buruk, dapat menolong kebenaran atau kebatilan; tidak ada beza sedikitpun. Dalam semua perkara; samada pemikiran atau mana-mana hakikat kehidupan. Ini kerana jiwa manusia memang sukakan keindahan, dan puisi pula semuanya indah. Ia boleh menambah jelaskan, memanis, memikatkan sesuatu yang betul dan baik. Dalam masa yang sama ia dapat menutup kekurangan dan penyelewengan yang ada pada kebatilan sehingga menjadikannya cantik dan indah. Tiada seorang pun yang dapat lepas dari tertawan terpengaruh dengan puisi melainkan hati yang dimakmurkan dengan iman secukupnya.
Fenomena ini mendorong aku untuk memasukkan puisi-puisi dalam siri nasihat-nasihat ku ini.
Salaf Dan Pengikut
Imam Ahmad menjadi ikutan kita dalam menggunakan puisi yang melembutkan hati. Dia menghafal sebahagian puisi yang kemudiannya ditulis oleh Tha'lab; seorang sasterawan yang masyhur. Murid-murid Imam Ahmad pernah mendengar dia berpuisi. Pada hari mehnahnya, para penyair telah berdiri dihadapannya sambil berpuisi memujinya. Bahkan dikatakan beliau telah mengucapkan beberapa keratan puisi kerana tidak berpuas hati terhadap 'Ali bin al Madiiniy yang tidak sabar bersamanya menghadapi penyiksaan.
Pernah pula salah seorang muridnya telah berkata: (Wahai Abu 'Abdullah: Apa pendapat kamu terhadap puisi yang menyebutkan tentang syurga dan neraka? Beliau bertanya: Contoh seperti puisi mana?
Muridnya menjawab: Seperti yang diucapkan oleh pemuisi-pemuisi: (membacakan syair):
إذا ما قال لى ربى أما استحييت تعصينى ؟
وتخفى الذنب من خلقى وبالعصيان .. تأتينى ؟
Ketika tuhan berkata kepadaku Takkah kau malu bermaksiat kepadaku?
Kau sembunyikan dosa dari makhlukku Tapi dengan penuh noda kau mengadapku?
Imam Ahmad berkata: Ulangi sekali lagi !
Muridnya berkata: Lalu aku ulangi sekali lagi, lalu dia (Imam Ahmad) bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara tangisannya dari dalam rumah dan beliau mengulang-ngulangi syair tadi.
Dengan keyakinan tentang faedah dan bolehnya menggunakan syair ini, aku memetik banyak puisi daripada antoloji penyair terdahulu. Kemudian juga daripada antoloji Waliid al A'zami, Mahmud Aali Ja'far, al Amiiriy, Abdul Wahhaab Azzaam dan lain-lain lagi.
Aku juga menambah lagi daripada syair Iqbaal, salah seorang penyair Islam yang agung sebagaimana yang terdapat di dalam antolojinya yang bertajuk (Risalatul Masyriq), (Al Asraar war Rumuuz) dan (Dharbul Kaliim). Puisi beliau mula memasuki pentas bahan bacaan nasihat-nasihat berbahasa Arab selepas ianya diterjemahkan oleh Abdul Wahhaab Azzaam.
Iqbaal adalah seorang penyair yang benar aqidahnya, mempunyai pandangan yang mendalam dan pemikiran yang sejahtera. Beliau telah dithiqahkan oleh Abul Hasan 'Ali an Nadawi yang telah membuat satu kajian mengenainya yang dinamakannya: (Rawaa'i Iqbaal). Beliau juga telah dithiqahkan oleh al Mauduudi di dalam satu rencana penting yang disiarkan oleh al Majallatul Ba'thil Islaamiyyil Hindiyyah. Di dalamnya beliau menerangkan jasa Iqbaal memandu kembali generasi yang telah terkesima dengan tamaddun Barat dan menjauhkan mereka dari rasa perkauman sempit. Beliau juga jelas dengan bentuk sebenar Daulah Islamiyyah, sehinggakan al-Mauduudi telah menyifatkan bahawa apa yang dilakukan oleh Iqbal adalah suatu yang agung dalam usaha islah. Ia mempunyai nilai yang tinggi dan tidak boleh dilupai oleh sejarah Islam. Beliau juga telah menyelamatkan generasi muslim yang telah diserkupi dengan pelbagai godaan tarikan dan teori karut marut.
Lebih hebat lagi, di akhir hayatnya, Iqbaal telah membuat satu perkara yang amat besar dan penting mengikut neraca Islam, iaitu menggunakan penanya bagi membongkar kebatilan ajaran Qadiani dan Ahmadiyyah serta memberi amaran orang ramai daripada mendekati keduanya. Beliau sangat menentang kesesatan wehdatul wujud, tidak sebagaimana yang difahami oleh setengah golongan tentang sikapnya.
Bersama Fitrah Keindahan
Majaaz , jinaas dan tasybiih adalah sama seperti syair dan puisi. Seseorang yang mempunyai zouq mendapati bahawa ungkapan bersemangat akan lebih berkesan jika dihiasi dengan seni-seni ilmu balaaghah ini. Oleh itu aku petik sebahagiannya yang tidak terlalu sukar.
(Majaaz, isti'aarah , kinayah dan lain-lain uslub balaaghah, tidak lain hanyalah suatu yang nature keluar dari jiwa yang seni, kerana jiwa jenis ini sentiasa mahukan suatu yang lebih agung, lebih indah dan lebih halus. Mungkin orang yang tidak berjiwa seni menganggap ini semua sebagai mengada-ngada, sengaja memberat-berat dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Lalu dianggap semua bentuk ini adalah satu kerja kosong dan tidak berfaedah. Tetapi sifat kesenian yang ada pada jiwa penyair berpendapat bahawa ia menambahkan lagi mesej dan memberi kesan yang lebih terhadap jiwa dan emosi. Oleh itu penambahan dalam bentuk perkataan, pengolahan lafaz dan pengulangan makna tidak lain dan tidak bukan hanya bertujuan untuk memberikan penambahan kesan terhadap jiwa dan perasaan).
Semangat pemuda Islam di permulaan abad baru..
Seterusnya.. Kurun yang lepas telah menyaksikan luka-luka yang memeritkan seluruh dunia Islam. Serangan musuh Islam telah sampai ke kemuncaknya. Sungguhpun begitu, cubaan untuk menanganinya semula telah dilakukan oleh mereka yang mempertahankannya. Walaupun kemenangan belum diperolehi, tapi sekumpulan pemuda Islam telahpun ter’tarbiyyah dan mula bangkit sedar. Keazaman mereka telah mantap. Ini semua meyakinkan lagi kita bahawa Islam pasti menang dalam kurun ini .. Insya Allah !
[Mukaddimah]
0 comments:
Post a Comment