Membangun Umat Beragenda

Sunday, 29 September 2013

Soalan: 
ISMA nampaknya meletakkan Melayu sebagai tonggak untuk menegakkan Islam. Tapi kita lihat sekarang ini Melayu dari sudut nilainya, dari sudut mempraktikkan Islam kadang-kadang jauh lebih ketinggalan daripada bangsa yang lain, maksud saya di sini ialah orang Melayu sendiri ada yang korup, ada yang bermasalah sosial dan seumpamanya, sementara bangsa lain yang bukan Melayu mendahului dari sudut cekap, amanah, kurang masalah sosial. Jadi adakah ISMA meletakkan harapan kepada bangsa Melayu untuk menegakkan Islam?. Tapi bezanya, yang bukan Melayu ini dia tidak Islam dari sudut akidah. Jadi mohon pandangan ustaz?

Jawapan
Pertama sekali kita kena faham Islam adalah agama akidah, agama ibadah, agama akhlak dan agama hukum. Jadi, apabila kita faham Islam ini dengan maksud yang begitu, kita tidak keliru dengan istilah Islam siyasi, Islam politik. Kadang-kadang apabila orang mengamalkan sesuatu amalan, kita mungkin menemui kesamaan dari segi politik Islam dan bukan Islam dari aspek tertentu, tetapi itu tidak bermakna bukan Islam itu menjadi Islam. Firman Allah:
ليس البر أن تولوا وجوهكم قبل المشرق والمغرب
bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur
(Surah al-Baqarah, 2:177)

Kita tidak boleh menganggap kalau Cina bersih, maka bersihnya sama dengan Melayu. Ataupun Cina lebih baik daripada Melayu kerana Melayu tidak bersih. Islam adalah agama akidah, agama akhlak, agama ibadah, agama hukum, jadi tidak boleh melihat Islam dari segi hukum ataupun muamalat umum sahaja. Maknanya jika ada orang lain lebih bersih ataupun lebih jujur ataupun sebagainya, maka kita pun menganggapnya lebih Islam berbanding orang Melayu, sedangkan dia tidak mengucap dua kalimah syahadah. Dia tidak sembah Allah S.W.T., dia tidak sembahyang, dia tidak puasa. Mungkin ada sesetengah etika itu wujud kebaikan pada mana-mana bangsa, itu tidak dinafikan. Di Barat pun mungkin ada nilai yang lebih baik lagi, tetapi itu tidak menjadikan Barat itu Islam lalu kita menganggap Barat itu lebih baik daripada orang yang mengucap dua kalimah syahadah. Itu satu poin yang penting kita faham dalam konteks itu.

Yang kedua lebih penting daripada itu, kita tidak boleh putus asa dengan orang Melayu, bangsa kita. Fakta yang kita sebutkan itu rasanya tidak begitu tepat walaupun akhbar mengemukakan banyak cerita tentang keburukan dan sebagainya. Sebenarnya golongan bermasalah ini bukan majoriti, bukan semua, bukan sampai 90 atau 80 peratus orang Melayu jadi begitu. Tetapi dalam konteks peratusan kaum-kaum yang terlibat sudah tentulah orang Melayu yang lebih tinggi kerana bilangan orang Melayu lebih besar secara keseluruhannya yang menyebabkan peratus akan naik lebih tinggi.

Tetapi dalam konteks orang Melayu keseluruhan, adakah orang Melayu keseluruhannya menjadi korup ataupun keseluruhannya mencuri? Sebahagian kecil sahaja daripada orang Melayu itu mencuri dan sebagainya, tapi asas pegangan orang Melayu, pegangan mereka pada agama dan sebagainya, asas agama dalam keperibadian orang Melayu masih kuat. Takkan kita nak mengharap orang Cina yang esok akan masuk Islam untuk dia tegakkan Islam. Kita harapkan, moga-moga dia masuk Islam, moga-moga orang masuk Islam dan dialah akan jadi asas dalam projek Islam kita. Itu tidak munasabah.

Sedangkan orang Melayu dah masuk Islam turun temurun, namanya, bahasanya, sembahyangnya, puasanya, adatnya, akhlaknya, tutur katanya semua dah Islam. Cuma sedikit sebanyak berlaku penyelewengan dalam kehidupan masyarakat, itu benda biasa, tiada atas dunia, tiada satu zaman pun tiada benda itu! Zaman khalifah-khalifah selepas Rasulullah dulu pun ada orang mencuri, ada khurafat, merompak ada macam-macam cerita.

Jadi apa yang diceritakan tidaklah istimewa lebih daripada apa yang berlaku pada zaman dahulu hatta zaman khalifah pun. Berlaku benda yang sama, penyelewengan yang sama, penyelewengan dari segi akhlak, keruntuhan akhlak dan sebagainya. Jadi, ia tidak membayangkan bahawa orang Melayu dah tidak sesuai lagi, tidak layak lagi untuk memikul tanggungjawab itu. Ini semua adalah kehendak musuh.

Ini poin ketiga yang saya hendak sebut di sini, sebenarnya perancangan musuh ialah untuk menghilangkan keyakinan diri dalam kalangan orang Melayu supaya orang Melayu merasa dia sudah tidak sesuai, jadi dengan itu dia tidak mahu lagi ataupun tidak rasa layak lagi untuk memikul tanggungjawab. Jadi dengan itu siapa yang untung? Yang akan untung ialah musuh Allah, bukan orang Islam. Jadi orang Islam, harakah Islamiah, pendakwah Islam tidak sepatutnya memberi saham yang sama ke arah meruntuhkan keyakinan diri dalam kalangan orang Islam.

0 comments:

Post a Comment