Membangun Umat Beragenda

Wednesday, 18 September 2013

Para da'i mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan iman, niat, himmah, kesedaran dan perasaannya terhadap tanggungjawab. Dari sini, dia akan sentiasa berada dalam beramal salih atau azam kebaikan.

Dari arah lain pula ialah tarikan syaitan yang menghiaskan futurnya dan menjadikannya cinta kepada dunia. Menyebabkan dia dalam lalai, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah untuk belajar apa yang dia jahili.

Ulang-alik antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu ketetapan Allah dan ia akan terus berlaku. Kerana itulah, orang-orang mukmin telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri jilsah-jilsah tafakkur, merenung diri dan tanasuh saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa jiwa takut-takut dihinggapi takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati takut-takut terseleweng. Memeriksa ilmu dan iman takut-takut bercampur baur dengan berlebih-lebih dengan bid'ah atau kekurangan yang membawa kepada meninggalkan suruhan Allah dan nasihat kebenaran.

Perasaan ini telah diterjemahkan oleh Mu'az bin Jabal r.a dengan satu ungkapan yang telah menjadi satu artikel/klaus/seksyen dalam perlembagaan generasi mukmin. Ketika mengingatkan sahabatnya, beliau telah berkata: 
إجلس بنا نؤمن ساعة 
Duduklah bersama kami, kita beriman sejenak

Ungkapan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah r.a , lalu dia berkata kepada Abu ad Dardaa’ r.a sambil memegang tangannya: 
تعال نؤمن ساعة إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا 
Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak

Dari mereka berdua pula kita ambil ungkapan ini, lalu lahirlah nasihat-nasihat ini yang berkaitan tentang fiqh ad da'wah. Kita mengajak para da'i Islam untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat ini, beriman dan memuhasabah diri, ilmu dan himmahnya.

[Muqaddimah]

0 comments:

Post a Comment