Pendirian kita terhadap aliran fahaman lain
Berkenaan dengan pelbagai aliran yang wujud di zaman ini sehingga wujudnya perselisihan dan perbezaan fahaman, pendirian kita ialah kita akan nilai setiap aliran ini dengan membandingkannya dengan dakwah kita. Mana-mana aliran yang selari dengan dakwah kita, kita alu-alukan. Mana-mana aliran yang bercanggah dengan dakwah kita, kita jauhi. Kita amat-amat yakin bahawa dakwah kita cukup umum dan luas merangkumi segala aspek positif yang ada di dalam aliran lain.
Patriotisme
Manusia hari ini adakalanya terpengaruh dengan aliran patriotisme. Adakalanya mereka terpengaruh dengan aliran nasionalisme. Terutama di rantau Timur, penduduk di rantau Timur sentiasa mendapat layanan buruk daripada Barat hingga mereka kehilangan harga diri dan kemerdekaan mereka. Malah segala harta dan nyawa mereka turut dirampas. Oleh kerana terpaksa sengsara menerima segala tekanan kuasa Barat yang menetapkan segala-galanya untuk mereka, mereka cuba membebaskan diri dengan berbekalkan segala kekuatan, perjuangan dan pengorbanan. Semua ini boleh didengar terpacul keluar daripada lidah para pemimpin dan akhbar mereka. Para karyawan menghasilkan pelbagai karya dan para pemidato pula menyampaikan pelbagai pidato. Masing-masing melaungkan slogan patriotik dan keagungan bangsa mereka.
Nampaknya apa yang dilaungkan itu baik, tetapi yang tidak baiknya ialah apabila anda cuba memahamkan penduduk Timur yang menganut Islam bahawa Islam lebih baik, lebih bersih, lebih tinggi dan lebih mulia daripada apa yang lahir daripada Barat atau hasil karya bangsa Eropah, mereka menolak kata-kata anda dan mereka fanatik dengan tradisi mereka secara membuta tuli. Mereka mengemukakan kepada anda bahawa Islam lain dan fahaman ini lain. Malah mereka mendakwa Islam hanya memecah belahkan perpaduan umat dan melemahkan kesatuan para pemuda.
Salah faham ini menjadi ancaman besar kepada penduduk Timur. Berkenaan dengan salah faham ini saya suka bentangkan di sini pendirian Ikhwan al-Muslimin berhubung fahaman patriotisme. Fahaman ini mereka terima dengan penuh senang hati dan mereka cuba mempengaruhi orang ramai untuk menerimanya seperti mereka.
Cintakan Negara
Jika patriotisme yang dimaksudkan oleh para pejuang patriotisme ialah cintakan tanahair, rasa kasih dan rasa rindu atau seumpamanya, perasaan ini sememangnya sedia tertanam dalam fitrah manusia dan bertepatan dengan perintah Islam. Bilal, walaupun beliau telah mengorbankan segala-galanya demi akidah dan agamanya, Bilal ini jugalah yang telah meluahkan rasa rindunya terhadap Mekah ketika berada di Madinah Dar al-Hijrah, melalui rangkap-rangkap syair yang amat indah dan sayu:
Alangkah indahnya jika aku dapat bermalam
Di sebuah lembah dikelilingi oleh rumput rampai dan tumbuhan
Dapatkah suatu hari nanti aku akan merasai kembali air kolam Majannah
Dapatkah aku kembali menyaksikan gunung Shammah dan Tufail.
Suatu ketika Rasulullah s.a.w. terdengar kata-kata Usail yang cuba mengungkapkan keindahan Mekah. Air mata baginda mengalir kerana rindukan Mekah. Baginda bersabda: Usail, biarkanlah hati-hati ini tenang.
Negara Yang Merdeka Dan Bermaruah
Jika apa yang mereka maksudkan ialah kewajipan berusaha sedaya upaya untuk membebaskan negara daripada penjajahan kolonialisme atau melakukan sesuatu ke arah mencapai kemerdekaan negara atau menanamkan harga diri dan semangat kemerdekaan di dalam jiwa anak bangsa, jika ini yang mereka maksudkan ia bermakna kita turut sama bersama mereka. Malah Islam amat-amat menegaskan perkara ini. Firman Allah:
ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولكن المنافقين لا يعلمون
Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Al-Munafikun, 63:8)
ولن يجعل الله للكافرين على المؤمنين سبيلا
Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
(Al-Nisa’, 4:141)
Masyarakat yang Bersatu
Jika apa yang mereka maksudkan dengan patriotisme ialah mengukuhkan hubungan antara masyarakat dalam rantau yang sama dan memimpin mereka menggunakan hubungan ini untuk kepentingan mereka, jika ini yang mereka maksudkan kita turut bersetuju dengan mereka. Malah Islam melihat perkara ini sebenarnya suatu kewajipan. Ini dinyatakan oleh Nabi s.a.w. “Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.”
Al-Quran juga ada menyebut:
يا أيها الذين آمنوا لا تتخذوا بطانة من دونكم لا يألونكم خبالا ودوا ما عنتم قد بدت البغضاء من أفواههم وما تخفي صدورهم أكبر قد بينا لكم الآيات إن كنتم تعقلون
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
(Aali Imran, 3:118).
Penaklukan negara
Jika apa yang mereka maksudkan dengan patriotisme ialah menakluk negara lain dan menguasai muka bumi ini, ia merupakan suatu yang diwajibkan oleh Islam. Malah Islam mengarahkan agar para penakluk supaya melakukan penaklukan dengan cara yang terbaik dan diberkati. Ini dinyatakan oleh firman Allah:
وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة ويكون الدين كله لله
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.
(Al-Anfal, 8:39)
Budaya berpuak dan berparti
Jika patriotisme yang mereka maksudkan ialah memecah belahkan ummah ini kepada beberapa puak yang saling bertelagah, saling berhasad dengki, saling caci-mencaci, saling tuduh-menuduh dan saling dendam-mendendam, bersatu dan berpecah berlandaskan fahaman ciptaan manusia yang didorong oleh hawa nafsu, diatur oleh matlamat yang berbeza, digerakkan oleh fahaman yang hanya berlandaskan kepentingan peribadi. Dalam masa yang sama pihak musuh mengambil kesempatan dengan menyemarakkan lagi api permusuhan. Musuh memecah belahkan mereka dalam perkara yang sepatutnya mereka bersatu dan menyatu padukan mereka dalam perkara yang tidak betul. Musuh akan menghalang mereka daripada saling berhubung dan bekerjasama. Sebaliknya musuh mahu mereka hanya berhubung dan berpaut padanya. Dengan ini mereka akan sentiasa bertandang ke negara musuh dan akan sentiasa berhimpun di tempat musuh. Patriotisme seperti ini adalah karut dan tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada para pendokong dan juga orang ramai.
Dengan ini anda dapat saksikan sendiri kita sependapat bersama pendokong patriotisme. Malah kita juga turut bersama golongan fanatik patriotisme dalam mendokong semua nilai baik yang dapat membawa kebaikan kepada negara dan manusia. Anda juga dapat saksikan bagaimana seluruh nilai patriotisme tidak lain hanyalah sebahagian daripada ajaran Islam.
0 comments:
Post a Comment