Perkara kedua yang saya ingin sentuh ialah soal pemerintah yang tidak melaksanakan pemerintahan Islam. Saya amat setuju dengan pendapat Tuan Guru bahawa ia merupakan punca gejala murtad, kerana undang-undang Islam itu sifatnya mencegah, bukan saja merawat. Selama 54 tahun kerajaan Perikatan, kemudian Barisan Nasional, tidak pernah serius untuk melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh, sedangkan Islam adalah Agama Persekutuan dan majoriti penduduk negara ini beragama Islam. Mutakhir, apabila diajukan cadangan Akta Murtad, kerajaan masih lagi memberi alasan yang sama, yang menunjukkan sikap “acuh tak acuh”.
Bagaimanapun saya ingin memberi amaran kepada generasi muda agar tidak mengambil kenyataan itu secara salah. Adalah tidak benar bahawa pemerintah yang tidak melaksanakan Islam adalah satu-satunya punca utama gejala murtad. Menekankan kesalahan hanya pada pemerintah yang tidak melaksanakan undang-undang Islam samalah seperti hujah orang yang mengatakan Islam ini hanya agama dialog. Ibarat kepala dibelah dua, tiada mana-mana bahagian lagi yang berguna. Islam bukan sekadar agama dialog, bahkan ia juga agama undang-undang yang dikuatkuasakan. Sebagaimana Islam bukan sekadar pemerintahan, malah ia bertapak dan berakar umbi pada keperibadian setiap individu muslim. Kedua-duanya saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan.
Negara Islam hanyalah kerangka yang mengizinkan orang-orang Islam melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. Hakikatnya banyak perkara dan banyak aspek Islam yang boleh dilaksanakan, walaupun pemerintah tidak melaksanakan undang-undang Islam, tetapi masalahnya ialah individu muslim itu sendiri tidak mahu melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. Ia satu persoalan yang lebih besar daripada persoalan undi pilihanraya.
Bahkan generasi muda kini lebih cenderung dengan cara fikir dan gaya hidup Barat. 70% daripada remaja Islam kita tidak solat lima waktu sepenuhnya. Keluarga yang tidak mengamalkan cara hidup Islam akan mewariskan generasi anak-anak yang terhakis sifat keIslamannya. Soalnya adakah pemerintahan Islam semata-mata dapat membuatkan mereka solat?
Tanpa menafikan soal pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Islam yang banyak meninggalkan kesan bahana ini, para pendakwah kini gigih merawat dan membimbing generasi muda. Mereka sanggup meninggalkan keselesaan hidup dan waktu rehat di malam hari dan hujung minggu semata-mata untuk bersama-sama generasi muda dalam program perkhemahan, qiamullail, rehlah dan seumpamanya demi membina semula jatidiri umat ini.
Kesimpulan saya untuk noktah kedua ini ialah kita harus melihat punca masalah murtad ini secara menyeluruh. Bahkan masalah terhakisnya jatidiri Islam pada masyarakat Melayu hari ini juga perlu dilihat puncanya secara menyeluruh. Dari situ, kita dapat melihat lakaran jalan penyelesaian yang lebih terangkum, lalu terpaparlah wajah-wajah pemain peranan yang melampaui batas sempadan organisasi dan pertubuhan. Di sebaliknya, akan terpaparlah wajah-wajah musuh yang sebenar.
0 comments:
Post a Comment