Soalan penting yang lahir daripada kesudahan kisah ini. Adakah ia berkesudahan dengan begitu saja? Golongan mukmin diseksa dan dibakar dengan api. Sebelumnya tubuh mereka dibelah dua dengan gergaji? Adakah golongan taghut akan hidup dalam keadaan aman sedangkan golongan mukmin meninggal dunia dan dakwah akhirnya berkubur? Untuk menjawab persoalan ini, kita mesti melihat kepada beberapa hakikat sehingga persoalan menjadi jelas dan memungkinkan kita untuk meletakkan hukum.
(a) Nilaian sebenar di neraca Allah ialah neraca aqidah. Kemenangan dalam bentuk yang paling tinggi ialah kemenangan rohani menghadapi kebendaan, kemenangan akidah menghadapi penyeksaan dan kemenangan iman menghadapi fitnah. Manusia semuanya mati, cuma yang berbeza ialah sebab kematian. Tetapi tidak semua manusia mencapai kemenangan ini dan meningkat ke ketinggian ini. Sememangnya golongan mukmin mempunyai peluang untuk menyelamatkan hidup mereka sebagai ganti apa yang mereka hadapi. Tetapi alangkah banyaknya kerugian yang mereka mesti tanggung? Dan alangkah banyaknya kerugian yang akan ditanggung oleh manusia seluruhnya.
(b) Medan pertembungan bukan hanya di bumi semata-mata dan mereka yang menyaksikannya bukan hanya manusia di setiap generasi. Alam Tinggi juga bersama-sama terlibat dalam peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi dan mereka juga menjadi saksi. Mereka menilai apa yang berlaku bukan dengan neraca dunia di setiap generasi mereka. Selepas semua itu, di sana terdapat akhirat yang merupakan medan asal di mana medan dunia bersambung dengannya. Dengan itu pertembungan masih lagi tidak berakhir dan tabir hakiki masih lagi tidak menutup pentas serta hukuman yang dijatuhkan di dunia bukanlah hukuman yang sebenar kerana ia adalah hukuman sebelah pihak yang kecil dan sedikit.
Begitulah kehidupan manusia berhubung dengan kehidupan alam tinggi dan dunia berhubung dengan akhirat. Bumi semata-mata tidak dikira sebagai medan pertembungan antara kebaikan dengan keburukan, kebenaran dengan kebatilan, dan iman dengan taghut. Kehidupan dunia tidak dikira sebagai perhentian terakhir dan bukannya penentu kalah menang pertembungan.
(c) Sejarah dakwah telah memperlihatkan bentuk kesudahan terakhir yang berbagai-bagai bagi dakwah di bumi ini. Ia memperlihatkan kesudahan buruk bagi kaum Nuh, kaum Hud, kaum Shuib, kaum Luth dan kemenangan golongan mukmin yang sedikit bilangannya. Juga memperlihatkan kesudahan Firaun dan tenteranya dan terselamatnya nabi Musa dan kaumnya, dan mereka mendapat kekuasaan di bumi sekalipun mereka tidak mencapai peringkat istiqamah yang sempurna.
Sejarah dakwah juga memperlihatkan kesudahan buruk bagi golongan musyrikin yang enggan menerima petunjuk dan beriman dengan nabi Muhammad saw, kemenangan sepenuhnya bagi golongan mukmin dan juga kemenangan akidah dalam diri mereka dalam bentuk yang menakjubkan. Juga memperlihatkan julung-julung kalinya dalam sejarah manusia sempurnanya penegakan manhaj Allah yang menguasai kehidupan dalam bentuk yang pernah dikenali oleh manusia sebelum dan selepasnya.
Juga memperlihatkan kisah ashabul ukhdud (seperti yang kita lihat dalam hadis ini) dan kisah-kisah lain yang mahsyur dalam lembaran sejarah iman dulu dan sekarang. Kisah-kisah yang menunjukkan kekalahan golongan mukmin, manakala keadaan golongan kafir yang tidak ditimpakan azab tidak sekali-kali menanamkan dalam perasaan mukmin (mereka adalah pendokong dakwah) bahawa mereka kadang-kadang akan berakhir dengan kesudahan seperti itu dalam perjalanan mereka menuju kepada Allah. Mereka memahami dalam urusan mereka ini mereka tidak memiliki apa-apa. Semua urusan mereka dan urusan akidah adalah tersertah kepada Allah. Tanggungjawab mereka hanyalah melaksanakan kewajipan, kemudian mereka pergi. Kewajipan mereka ialah menjadikan Allah satu-satunya pilihan mereka, mementingkan akhirat daripada kehidupan dunia, merasa tinggi dengan keimanan ketika berhadapan dengan fitnah dan membenarkan Allah dalamg gerak kerja dan niat.
Mereka hanyalah orang upahan di sisi Allah yang bekerja berdasarkan cara, bentuk dan tempat yang dikehendaki-Nya. Mereka bekerja dan mengambil upah yang telah ditentukan. Mereka tidak memperolehi apa-apa atau dihukum apabila dakwah berkesudahan dengan apa-apa kesudahan sekalipun. Menentukan kesudahannya adalah milik tuannya bukan milik pengambil upah. Upah kali pertama yang diterima adalah berbentuk ketenangan hati, ketinggian perasaan dan kecantikan dalam gambaran. Mereka menerima upah untuk kali keduanya dalam bentuk pujian daripada alam tinggi, ingatan dan kemuliaan. Kemudian mereka menerima upah terbesar di akhirat dalam bentuk hisab yang mudah dan nikmat yuang besar. Dan yang paling besar daripada semua itu ialah keredaan Allah.
[Huraian hadis 15]
0 comments:
Post a Comment