Adalah sesuatu yang wajar jika dakwah pada period pertama ditujukan kepada kalangan keluarga dekat. Lebih khusus tatkala dakwah mulai mendapat perlawanan secara terang-terangan. Perlawanan ini menghadapkan dai kepada bahaya, kerana itu harus ada pihak yang paling siap untuk melindunginya.
Bibit-bibit dakwah pertama dalam period sirriyyah terdapat di rumah Nabi saw. Sebab, orang yang pertama masuk Islam setelah Rasulullah ialah isterinya, Khadijah binti Khuwailid ra, mantan hambanya Zaid bin Haritsah serta sepupunya Ali bin Abi Talib. Ali tinggal bersama Nabi saw dan ditanggung oleh baginda, demi meringankan beban Abu Talib yang harus menanggung banyak keluarga tetapi miskin keadaannya, di samping untuk membalas jasa Abu Talib yang telah mengasuhnya semasa kecil. Anak-anak perempuannya, iaitu Zainab, Ruqayah, Ummu Kalsum dan Fatimah. Rumah Nabi saw seluruhnya sudah muslim.
Lantaran itu, ketika dakwah beralih pada period jahriyyah, mahu tidak mahu dakwah harus disampaikan kepada keluarga dekat, iaitu Bani Hashim dan Bani Mutalib serta memberitahukan persoalannya kepada mereka.
Ini merupakan sunnah Ilahiyyah. Rasulullah saw menjelaskan sebab-sebabnya berkaitan dengan kisah Lut tatkala didatangi oleh kaumnya yang meninginkan perlakuan mesum dengan tetamunya (malaikat). Ketika itu, Lut telah berhijrah ke negeri Syam, tidak ada kabilah yang siap membela atau melindunginya kecuali kedua anak perempuannya. Isterinya sendiri kafir, sementara orang yang beriman sangat sedikit dan tidak mampu memberikan pembelaan kepadanya.
فأخرجنا من كان فيها من المؤمنين فما وجدنا فيها غير بيت من المسلمين
(Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ. (Sesudah diperiksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut). [azZariyat, 51:35-36]
Orang yang sedikit dan lemah serta tidak memiliki dukungan keluarga yang kuat inilah yang mendorong Nabi Lut untuk mengatakan
قال لو أن لي بكم قوة أو آوي إلى ركن شديد
Nabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)". [Hud, 11:80]
Berkenaan dengan kisah Nabi Lut ini, Rasulullah saw bersabda
رحمة الله على لوط لقد كان يأوي إلى ركن شديد - يعني الله عز وجل - فما بعث الله بعده من نبي إلا في ثروة من قومه
Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Nabi Lut. Sesungguhnya dia telah berlindung kepada keluarga yang kuat yakni Allah. Maka setelah Nabi Lut, Allah tidak mengutus seorang nabi kecuali dengan dukungan dari kaumnya.
Sunnah Ilahiyyah ini pula yang menghalangi orang kafir Madyan untuk menyerang nabi Shuib.
قالوا يا شعيب ما نفقه كثيرا مما تقول وإنا لنراك فينا ضعيفا ولولا رهطك لرجمناك وما أنت علينا بعزيز
Mereka berkata: "Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!" [Hud, 11:91]
Walaupun keluarga itu beriman ataupun tidak, namun pembelaannya terhadap "putra dai"nya merupakan garis asal dalam semua sejarah dakwah. Sikap Abu Talib berbeza dengan sikap Abu Lahab. Abu Talib melindungi Rasulullah saw sekalipun dia tidak masuk Islam. Bahkan tidak ada riwayat yang menyebutkan bahawa dalam dakwah kepada keluarga ini ada orang yang masuk Islam selain dari Ali bin Abi Talib.
Dakwah ini dilakukan dari keluarga yang terdekat sampai kepada keluarga yang terbesar, iaitu ketika Rasulullah saw mengumumkannya di Bukit Safa atas Mekah. Nabi saw mengundang semua keluarga sehingga para wakil Quraisy hadir semuanya. Nabi saw mengajak mereka kepada Islam dan kesiapan memberikan pembelaan. Tetapi semuanya menolak, khususnya setelah bapa saudaranya Abu Lahab mencela dan mengecamnya di hadapan khayalak seraya berkata, "Celaka kamu, adakah untuk keperluan ini kamu kumpulkan kami."
Tetapi sikap Abu Talib yang secara terang-terangan memberikan perlindungan dan pembelaan kepada Rasulullah saw telah "mengotori" kejernihan suasana penduduk Mekah, kerana penyataan ini merupakan pertarungan intern baru dalam barisan Mekah.
Perintah alQuran untuk melakukan dakwah secara jahriyyah telah cukup jelas sehingga tidak ada pilihan lain bagi Rasulullah saw kecuali harus melakukan dakwahnya secara terang-terangan, betapapun risiko yang beliau hadapi.
فاصدع بما تؤمر وأعرض عن المشركين
Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. [al Hijr, 15:94]
Perintah untuk melakukan dakwah secara terang-terangan ini dibarengi dengan perintah bersabar dan berlapang dada terhadap kaum musyrikin yang menentang. Berpaling dari mereka, yakni menghindari "benturan" dengan mereka dan sedapat mungkin menghindarinya.
[Karakteristik Period Kedua]
0 comments:
Post a Comment