Membangun Umat Beragenda

Tuesday, 24 September 2013

1. Slogan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ merupakan satu praktik kepada firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat ke-28. Allah melarang orang beriman melantik orang bukan Islam sebagai ketua. Larangan ini jelas dalam ayat lain seperti dalam Surah Ali Imran, ayat ke-118. Hujah terkuat penolakan tersebut ialah kafirnya mereka kepada Allah. Bagaimanakah orang yang kafir akan menguruskan urusan kehidupan dunia dan akhirat umat Islam? 7 calon ISMA hanya bertanding di kawasan yang selama ini ditandingi oleh calon bukan Islam. ISMA memberikan pilihan kepada pengundi muslim untuk mempraktikkan arahan Allah dalam ayat tersebut.

2. ISMA berpegang dengan firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat ke-8. Sesungguhnya Allah tidak melarang umat Islam untuk bergaul dengan non muslim seperti dalam ayat tersebut. Sebab penurunan ayat tersebut (kisah Asma’ binti Abu Bakar) juga menjelaskan perkara ini.

3. ISMA meletakkan fokusnya dalam perjuangan Islam di Malaysia dengan membangunkan semula orang Melayu. Ini tidak menjadikan ISMA anti non muslim. Dalam mukadimah buku Al-Muntalak Syeikh Muhammad Ahmad Rasyid berkata,
Bukan menjadi penyelesaian bagi dunia Islam hari ini dengan memasukkan mereka yang jauh dengan Islam ke dalam agama Islam, akan tetapi penyelesaiannya adalah dengan memberi peringatan bagi mereka yang telah sedia Islam. Mereka ini perlu diberikan kefahaman Islam sebenar.”

Kata-kata pemikir Islam di zaman kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, Syakib Arsalan juga menjadi panduan. Katanya,
“Adakah kita mahu mengumpul angka-angka kosong untuk membina semula khalifah? Sesungguhnya khilafah tidak akan terbina di atas angka-angka kosong ini.” 

Angka kosong ini merujuk kepada umat Islam yang ramai tetapi tidak berkualiti. Jelaslah, penyelesaian umat Islam hari ini bukan untuk meramaikan penganutnya, tetapi membina semula kekuatan umat Islam atas dasar keimanan dan perpaduan. Kefahaman ini langsung tidak menjadi ISMA anti non muslim. Akan tetapi tidak dinafikan kepentingan usaha untuk mengajak orang bukan Islam menganut Islam seperti yang dijalankan oleh pihak-pihak lain seperti PERKIM.

4. Slogan MSIB menyeru bangsa Melayu untuk bersatu membina kekuatan. Dengan kekuatan inilah, Islam akan didaulatkan. Tiada pernah berlaku dalam sejarah apabila Islam memerintah, orang bukan Islam akan dipinggirkan dan dinafikan hak.

5. Di samping memberikan keutamaan kepada bangsa Melayu, perasaan ‘common sense’ untuk berdakwah kepada non muslim tetap ada. Sepanjang pergaulan ahli ISMA bersama masyarakat, sudah ada usaha mengislamkan orang bukan Islam. Buktinya, Saudari Alifah Ting Abdullah memeluk Islam atas usaha komuniti ISMA di sekelilingnya.

Kesimpulannya kedudukan non muslim dalam dakwah ISMA tidak dipinggirkan secara total. Mereka tetap menjadi sasaran dakwah tetapi secara tidak langsung melalui penonjolan akhlak yang baik dan hubungan harian ahli-ahli ISMA. Adapun berdakwah secara serius mengajak mereka memeluk Islam, itu masih belum dilaksanakan dengan serius.

Tindakan sesetengah pihak yang menuduh ISMA seolah-olah anti non muslim adalah tidak benar. Mungkin mereka mahu melihat ISMA menjadi gerakan yang betul-betul menyeluruh sehingga mempunyai satu jawatankuasa khas untuk berdakwah kepada non muslim yang benar-benar aktif.

Atau mungkin juga mereka tidak mahu ISMA terlalu keras dalam pendirian dan kenyataan akhbar berhubung perjuangan Melayu bagi mengelakkan orang bukan Islam rasa takut dan benci ISMA dan Islam secara tak langsung.

0 comments:

Post a Comment