Membangun Umat Beragenda

Monday, 30 September 2013

Soalan
Adakah di sana hujah-hujah syarak yang menceritakan tentang dakwah ataupun usaha-usaha untuk menyatukan bangsa, dan pada masa yang sama perjuangan bangsa ini menunjukkan asabiyah yang dilarang oleh agama Islam, bagaimana pandangan ustaz ?

Jawapan:
Sebelum itu, saya ingin menjelaskan di sini bahawa ISMA tidak meletakkan bangsa sebagai dasar perjuangan, sebalik ia adalah satu strategi dan pendekatan. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa sebagai dasar perjuangan adalah tidak tepat dengan konsep yang terkandung dalam “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”. Dasar perjuangan kita adalah Islam, kita nak tegakkan dan daulatkan Islam.

Dalam sejarah Islam, bangsa tidak pernah dihapuskan, bahkan setiap bangsa memainkan peranan mereka untuk menegakkan Islam. Ini berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W. Pada zaman Rasulullah S.A.W., apabila baginda membawa risalah Islam, baginda tidak pernah menghapuskan bangsa. Dalam peristiwa Baiatul Aqabah, 12 naqib itu adalah mewakili setiap kumpulan bangsa mereka; sama ada daripada Aus ataupun Khazraj. Begitu juga peristiwa yang berlaku sewaktu pembukaan Kota Mekah. Apabila Rasulullah S.A.W. masuk ke Mekah, baginda meletakkan Abu Sufyan di pintu masuk Mekah dan tentera-tentera Islam yang bersama Rasulullah S.A.W. ini disusun mengikut kabilah masing-masing. Setiap tentera masuk ke Mekah mengikut kabilah masing-masing. Setiap kali satu pasukan tentera masuk, mereka lalu di hadapan Abu Sufyan, setiap kali itulah sahabat memberitahu kepada Abu Sufyan bahawa ini tentera daripada kabilah fulan bin fulan.

Banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah menunjukkan bahawa Islam tidak pernah menghapuskan bangsa, bahkan Allah S.W.T. menyebut dalam al-Quran:
وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا
Kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal (Surah al-Hujurat, 49:13)

Ini ciptaan Allah S.W.T., tidak munasabah Allah akan menghapuskan bangsa. Apabila Allah mencipta bangsa, kaum atau kabilah, sudah tentu ada peranannya. Hubungan semulajadi sesama kaum itu sendiri merupakan satu kekuatan sepanjang sejarah politik Islam. Kalau kita baca sejarah politik Islam sebagaimana yang diterangkan oleh Ibnu Khaldun dalam kajiannya, beliau mengatakan bahawa asobiyahlah yang menjadi sumber kekuatan. Mana-mana kuasa politik yang muncul dalam sejarah adalah bermula dengan wujudnya asobiyah itu. Sebab itu Ibnu Khaldun, apabila dia menghurai syarat-syarat imamah, syarat-syarat seseorang yang ingin menjadi khalifah, disebut imam ini mesti daripada kalangan Quraisy (الأئمة من قريش)

Ibnu Khaldun menghurai hadith ini. Apa maksud hadith ini? Adakah Rasulullah S.A.W. kata begitu supaya kita ambil berkat? Oleh kerana dia keturunan nabi, keturunan orang mulia dan sebagainya, maka imam pun kena daripada Quraisy kerana berkatnya! Bukan! Bukan itu! Sebab itu Ibnu Khaldun membuat analisis dalam istilah usul. Saya hendak menyebut di sini sebab, mungkin orang kata Ibnu Khaldun ini mungkin betul dan mungkin tidak tentang istilah yang beliau pakai dan cara beliau mengeluarkan hukum. Kalau kita membaca dan selidik bagaimana Ibnu Khaldun menghurai hadith ini, dia menggunakan kaedah usul yang muktamad yang dipakai oleh semua ulamak untuk mencari sebab, apa rahsia Rasulullah S.A.W. menyebut (الأئمة من قريش )

Setelah melakukan kajian dan pemeriksaan, beliau dapati sebab yang paling munasabah sekali ialah kerana kuasa (syaukah), kerana dokongan yang wujud, yang memberikan kekuatan kepada mana-mana pemimpin untuk menjadi pemerintah, yang boleh memaksa sehingga kuasa pemerintahannya itu ditaati oleh orang lain. Mana-mana pemerintah yang datang dan tidak ada kekuatan sokongan, maka arahannya tidak akan ditaati. Selain itu Ibnu Khaldun mengemukakan kajian sejarah. Kalau kita lihat dari muka surat pertama hingga ke muka surat 202 kitab “Mukaddimah Ibnu Khaldun”, beliau menghuraikan kedudukan asobiyah itu di dalam konteks pendekatan satu-satu kuasa.

Sebagaimana pemerintahan biasa perlu pada asobiyah, begitu juga pemerintahan Islam, sehingga Ibnu Khaldun menganggap asobiyah itu adalah sesuatu yang daruri dan tiada pilihan lain. Ia adalah sesuatu yang semula jadi. Ibnu Khaldun menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan hadith-hadith yang lain yang mengatakan asobiyah itu sebagai jahiliyah, bercanggah dengan Islam dan sebagainya. Ibnu Khaldun menghuraikan hadith-hadith ini dan mencari penyelesaiannya. Beliau menserasikan antara hadith-hadith itu dengan begitu cantik sekali. Kesimpulannya ialah sebenarnya bila kita kumpul semua hadith-hadith dan nas-nas berkaitan dengan perkara tersebut, maka kita dapat faham bahawa hadith-hadith ataupun ayat-ayat yang melarang ataupun mengharamkan asobiyah itu tertumpu pada isu tujuan-tujuan asobiyah yang tidak baik, iaitu ke arah menegakkan merampas hak orang lain ataupun berpegang kepada suatu puak, satu benda, satu perkara, satu pendapat dengan cara yang membabi buta.

Jadi, bila kita jelas konsep hadith tersebut, kita dapat menserasikan antara hadith-hadith dan ayat-ayat dan kita dapati kesimpulannya adalah bahawa asobiyah ini sesuatu yang tidak boleh ditolak dalam kerangka kita untuk menegakkan agama Allah S.W.T. Jadi, dalam konteks Malaysia, kalau kita hendak tegakkan agama, hendak tegakkan Islam, daulah Islam, ia mestilah disokong oleh satu bangsa yang kuat supaya bila kita mengisytiharkan bahawa kita hendak melaksanakan Islam dan sebagainya, pengisytiharan itu tidak boleh dicabar oleh orang lain, oleh sesiapapun. Jadi itu adalah sesuatu yang diperlukan dan menepati kehendak-kehendak syariah dan dalil-dalil yang wujud dalam nas-nas, transkrip-transkrip yang wujud dalam khazanah fikh Islam itu sendiri.kezaliman ataupun kebatilan,

0 comments:

Post a Comment