Tuan-tuan dan puan-puan sekelian
Perhatikanlah bagaimana fahaman liberalisme dan pluralisme agama telah mengubah “marjaiyyah” (rujukan) perjuangan daripada al-Quran dan Sunnah kepada Piagam Hak Asasi Manusia.
Kita dapat saksikan lahjah (nada bahasa) pengucapan Islami secara automatis berubah. Dengan itu muncul istilah Islam demokrasi, Islam liberal dan muslim moderate dan sebagainya.
Perkara yang satu masa dahulu menjadi foundamental / asas dalam fahaman dakwah bahawa tidak boleh mencampur adukkan antara Islam dan ideologi jahiliyah, kini semua sudah menjadi normal.
Perubahan arah gerakan Islam ini menyebabkan lenyapnya isu ummah. Agenda perjuangan Islam terseleweng daripada sifatnya yang syumul kepada matlamat tampalan yang disejajarkan dengan ideologi lain.
Mereka “menjustifikasikan” pegangan mereka ini dengan menganggap bahawa mereka memperjuangkan Islam secara substance bukan lagi sebagai retorik.
Mereka mengislamisasikan fahaman “humanisme” dan mereka namakannya sebagai “ukhuwwah insaniah”. Kemudian mereka samakannya dengan konsep “ kesejagatan Islam”.
Memang “kesejagatan Islam” adalah merangkumi semua bangsa dan kaum, tetapi mereka disatukan atas dasar akidah, sebaliknya “humanisme” adalah kesatuan atas dasar manusiawi tanpa mengira akidah dan kaum.
Dalam kerangka fikiran sama, dicairkan istilah negara Islam kepada negara berkebajikan atas alasan strategi, diangkat slogan “karamah insaniyah” kemuliaan insan untuk dijadikan landasan perjuangan menggantikan konsep “khaira ummah” yang berasaskan wala’ dan bara’.
Dengan slogan baru ini mereka dapat menghilangkan penghadang antara muslim dengan non muslim dan mengaplikasikan mafhum (konsep) kesamarataan mutlak (multi-racial) dengan wajah Islam.
Berdasarkan konsep “ukhuwwah insaniah” ada yang mentafsirkan “Islam rahmat untuk sekelian alam” sebagai asas kehidupan “madani la dini” (tidak berteraskan agama) di bawah Rahmat Tuhan tanpa perlu lagi seseorang manusia itu mengucap dua kalimah syahadah atau dengan menganut apa-apa agama sahaja.
Yang lebih berat daripada itu, ada yang sanggup mengatakan bahawa ayat-ayat wala’ yang menjadi asas hubungan intima’ dalam sistem kemasyarakatan dan kenegaraan Islam dianggap sebagai “mansukh” (batal) kerana bercanggah dengan mafhum (konsep) “ukhuwah insaniyah”, yang dianggap lebih “muhkam” (nyata).
Ada juga yang mengharamkan kerjasama sesama Islam (Melayu) kerana ia membawa maksud perkauman sempit dan kerjasama atas kezaliman (asobiah) yang bertentangan dengan konsep keadilan dan kesamaratan dalam fahaman multi-racial.
Ada juga yang cuba menjustifikasikan fahaman multi-racial dengan konsep tahaluf siasi dalam Islam. Sangat besar perbezaan antara tahaluf siasi dengan konsep kesamarataan multi-racial.
Tahaluf siasi adalah satu bentuk dasar hubungan luar antara kumpulan Islam dengan kumpulan bukan Islam. Ia terikat dengan hukum “i’anah” (membantu) dan “isti’anah” (minta bantuan) yang dilaksanakan dengan syarat yang sangat ketat. Tiada kesamarataan dalam konsep tahaluf siasi.
Konsep kerjasama dalam perkara “kemuliaan al-akhlak” dan memerangi kefasadan yang diambil dari peristiwa “al-hilfu al-fudhul” (persepakatan kebajikan) tidak sampai ke tahap mengharuskan tahaluf siasi dan tidak juga menyokong konsep kesamarataan mutlak (multi-racial).
Akhirnya mereka yang dahulunya terkenal sebagai seorang pejuang Islam kini memperjuangkan politik yang bebas pengaruh agama dan bangsa untuk membentuk masyarakat “madani la dini” (tidak berteraskan agama). Mereka sanggup berjuang dalam parti liberal dan parti sosialis.
Mereka berfikir itu adalah inti (substance) kepada perjuangan keadilan Islam walhal tanpa mereka sedari mereka telah terperangkap dalam agenda liberalisme dan pluralisme agama.
Demikian kita dapat melihat bagaimana liberalisme dan pluralisme menghancurkan keperibadian ummat, menanamkan permusuhan sesama Islam dan menghapuskan ghirah (cemburu) terhadap maruah bangsa dan kedaulatan agama.
0 comments:
Post a Comment