Tahaluf sebegini termasuk dalam tasarruf imam atau pemerintah, walau bagaimanapun kaedah yang sama harus dipakai oleh gerakan Islam dalam menjalin hubungan mereka dengan individu dan organisasi bukan Islam.
Sebagaimana yang telah saya nyatakan terdahulu, terdapat dua pandangan ulamak dalam hal ini. Pertama mengharamkan tahaluf secara mutlak dan yang kedua mengharuskannya dengan meletakkannya di bawah urusan pemerintah atau pemimpin. Persoalan ini terangkum dalam ijtihad maslahi. Pendapat tersebut dipersetujui oleh Ahmad al-Rashid yang berpendapat hukumnya harus dengan syarat-syarat tertentu bagi kategori tahaluf siyasi dan bukan peperangan.
Di atas asas itulah, kita boleh mengambil kaedah ijtihad maslahi yang dipegang oleh para ulama untuk mengukur sejauh mana amalan tahaluf yang diamalkan oleh parti umat Islam di Malaysia bertepatan dengan ijtihad maslahi. Berdasarkan perbincangan yang lalu, berikut beberapa syarat yang dinyatakan oleh pada ulama yang dapat saya simpulkan. Syarat-syarat ijtihad maslahi (bab dhorurah) seperti berikut:
• Hendaklah wujud maslahah rajihah
• Tidak melebihi kadar yang diperlukan
• Maslahah yang pasti (qat’iyyah)
• Maslahah bersifat “kulliyah”
Ditambah dengan syarat-syarat tahaluf yang lain:
• Hendaklah hukum Islam yang dominan (Syarbini)
• Orang kafir boleh dipercayai (al-Hazimi)
• Mereka tidak berada di saf hadapan (Maliki)
• Mereka adalah golongan yang minoriti (al-Hazimi)
• Ada manfaat khusus yang boleh diambil daripada orang kafir
Daripada kajian dan penelitian terhadap dalil-dalil syarak di atas, al-aslu dalam konteks hubungan muslim dengan golongan bukan Islam ialah al-bara` yakni tiada pertanggungjawaban dan permuafakatan. Cuma dalam konteks semasa, konsep tahaluf dilihat sebagai hukum pengecualian dan termasuk dalam bab dhorurat. Perkara yang menjadi kesukaran kepada saya dalam pembentangan ini ialah tiada satu cadangan bertulis daripada mana-mana parti umat Islam yang menjelaskan kaedah ijtihad yang diambil dalam amalan tahaluf yang mereka lakukan. Oleh itu saya merumuskan perbincangan dan perbahasan ini banyak bergantung kepada aspek pemerhatian dan tindak-tanduk luaran semata-mata. Allahu al-Musta’an.
0 comments:
Post a Comment