Perlunya Pertolongan Segera (SOS)
Pada hari ini, da’i Islam perlu berpendirian seperti Umar bin Abdul Aziz. Dia perlu merasai wajibnya di ambil tindakan segera untuk menyelamatkan umat Islam yang tenggelam dalam kesesatan jauh dari Islam. Dia perlu sedar bahawa tiada jalan lain baginya kecuali mara memimpin mereka meskipun mereka enggan. Meskipun tanggungjawab ini amat menyusahkan dan memerlukan pengorbanan.
Tidak syak lagi... majoriti umat Islam hari ini sebenarnya telah terseleweng tanpa sedar dan tanpa niat jahat. Mereka sebenarnya layak untuk bersama-sama para da’i bagi mengembalikan umat ini kepada Islam. Mereka mampu berbuat demikian sekiranya mereka sedar bahawa mereka telah tertipu.
Tetapi da’i Islam dalam masa yang sama melihat.. sama seperti apa yang dikatakan oleh Omar… bahawa ia amat sukar kerana penyelewengan sudah mendarah daging dalam tubuh generasi ini.
Oleh itu apakah yang mesti dibuat?
Berhenti mencuba? Atau tangguhkan usaha ke suatu masa yang lain?
Tidak sekali-kali..!
Kerja-kerja ini tidak boleh ditinggalkan. Manhaj Islam tidak mempunyai cacat-cela dan tiada kekurangannya. Bukti kemampuannya ialah masih terdapat belia-belia Islam yang bersih jiwanya melagukan ayat-ayat al-Quran di zaman materialisme dan hedonisme ini. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Sabar itu kunci segala pintu yang tertutup.
Kerja-kerja ini juga tidak boleh ditangguhkan. Masa tidak berpihak kepada kita jika ditangguh. Jika ditangguhkan, maka semakin panjang tempoh bermaharajalelanya taghut akan semakin kuat pula cengkamannya di dalam jiwa manusia yang hanyut. Perlu segera membuat usaha menyelamat yang hanyut itu selagi denyutan nadi masih ada dan selagi benih fitrah masih terpendam.
“Sesungguhnya tidak ada kerosakan yang lebih teruk merosakkan fitrah selain dari kehinaan yang dibentuk oleh taghut yang berpanjangan. Ia memusnahkan segala kemuliaan manusia, meruntuhkan dasar-dasar dan nilai-nilainya dan menanam padanya sifat-sifat hina yang biasanya terdapat pada hamba abdi:
- Tunduk di bawah cemeti tukang sebat,
- Marah-marah tatkala cemeti itu terangkat daripadanya
- sombong tatkala mendapat sesuatu dari nikmat dan kekuatan.”
Oleh itu, menunggu dan menangguh bukanlah satu tindakan yang terbaik. Perlu ditambahkan penyertaan baru ke dalam gerombolan kafilah yang merdeka ini.
Bergerak Dalam Pelbagai Pendekatan
Begitulah..
Dengan realiti wujudnya kijang-kijang pengecut dan adanya manusia-manusia yang derhaka dan maksiat; dan realiti kekufuran sebahagian pemerintah, ahli-ahli politik dan individu-individu Islam hari ini kerana beriman hanya kepada sebahagian dari Islam; Justeru itu semua, maka wajib diwujudkan sebuah gerakan Islam yang menyeru kepada makruf dan membangkitkan semula hemmah. Gerakan Islam yang akan menghalang mereka dari penyelewengan dan berusaha sungguh-sungguh untuk menegakkan pemerintahan Islam.
Kita meleret-leret menjelaskan ini semua untuk membuktikan bahawa kita tidak perlu menghukum keseluruhan masyarakat Islam kini sebagai masyarakat jahiliah. Dan da'i boleh memulakan kerja-kerja dakwah secara bebas, serentak dan dengan pelbagai pendekatan yang berbeza.
Da’i melihat kepada kerajaan dan parti politik yang menyeru kepada sistem hidup yang bertentangan dengan syariat Islam, atau kepada individu yang berpegang dengan falsafah jahiliyyah, menghalalkan yang haram, menolak sebahagian dari perkara iman; mereka melihat golongan ini dengan pandangan takfir dan marah, dan mengambil pendekatan menentang mereka dengan tegas dan keras.
Tetapi dalam waktu yang sama, para da’i bergerak dalam bentuk lain terhadap orang-orang Islam ahli maksiat melalui berbagai-bagai cara. Di antaranya:
- Teguran kasih sayang dan menyedarkan mereka terhadap amal jama'i, jika mereka telah menyempurnakan perkara-perkara fardhu, beriltizam dengan hukum-hukum Islam dan menyuruh manusia kepada ma'ruf, tetapi dilakukan secara fardi.
- Kadangkala menggunakan intonasi kasih sayang tetapi diiringi gertakan dan tajam terhadap orang-orang yang beriltizam dengan Islam tetapi berdiam diri dari amar ma'ruf dan nahi mungkar.
- Menggunakan bahasa yang lembut, rasa kasih dan simpati terhadap mereka yang dilalaikan oleh syahwat, tidak mengerjakan amalan fardhu dan karam dalam maksiat.
- Menggunakan bahasa marah, garang dan keras terhadap mereka yang membuat dosa besar, zalim dan mabuk di dalam kejahatan.
Semua cara di atas boleh digunakan di dalam masa yang sama dan di dalam masyarakat yang sama.
0 comments:
Post a Comment