MENGENAL NABI
Para cendekiawan dalam berbagai ilmu dan pengetahuan dilahirkan dengan bakat yang istimewa dan tabi’at luarbiasa, yang dengannya mereka terbeza daripada orang lain. Sebagaimana mereka ini, demikian jugalah para Nabi dilahirkan dengan tabi’at yang khas, yang dengannya mereka terbeza daripada orang lain.
Anda akan mengetahui bahawa seseorang itu penya’ir handalan, jika anda mendengar ucapannya semata-mata. Dan anda pun mengetahui bahawa ia dilahirkan dengan bakat yang istimewa dalam bidang puisi, orang lain takkan sanggup menyusun sya’ir seperti itu meskipun untuk itu dihabiskannya segenap kesungguhannya.
Demikian juga, anda mengenal seorang juru pidato yang handal, seorang penulis yang handal, seorang pemimpin yang handal, daripada perbuatan mereka. Setiap mereka melakukan pekerjaannya dengan bakatnya sendiri, bakat yang tidak dimiliki oleh manusia yang lain.
Demikian juga anda jumpai pada keistimewaan Nabi. Anda dapati dalam otaknya fikiran-fikiran semula jadi yang tiada tergetar dalam hati seorang manusia pun. Dikemukakannya dan diterangkannya kepada manusia masalah-masalah dan tajuk-tajuk yang orang lain tidak sanggup menerangkannya. Ditajamkannya pandangannya kepada perkara-perkara halus yang pandangan seluruh manusia tidak akan mendapat petunjuk ke situ. Mereka tidak memahaminya, meskipun untuk itu mereka menghabiskan semua usahanya bertahun tahun lamanya. Akal yang sehati akan menerima apa yang dikatakannya. Hati menyaksikan alam membenarkan seluruh perkataanya Tetapi, apabila seseorang hendak mengemukakan sesuatu yang bersamaan dengan perkataannya, orang itu tiada sanggup buat selama-lamanya.
Adalah Nabi itu suci fitrahnya, bersih tabiatnya. Dalam setiap keadaan tidak dijalaninya sesuatu jalan melainkan jalan kebenaran, kesucian dan kemuliaan. Ia tidak akan berkata atau berbuat sesuatu yang tidak sesuai dengan hak dan kebenaran. Ia menunjuki manusia kepada kebijaksanaan.
Dalam mengamalkan sendiri apa yang disuruhnya ia mendahului manusia lain. Tiada pernah dijumpai dalam hidupnya suatu contoh yang perbuatannya berlawanan dengan perkataannya. Ia menderita untuk kemaslahatan orang lain. Dan ia tidak akan menimpakan penderitaan ke atas orang lain bagi kepentingan dirinya sendiri. Seluruh hidupnya adalah kebenaran, amanah, kehormatan, keikhlasan yang mulia, fikiran yang tinggi dan marwah yang agung. Tidak ada keaipan padanya dan tidak pula kekurangan. Semua ini adalah saksi yang berkata bahawa Nabi Allah yang benar ini telah diutus ke pada manusia untuk menunjuki mereka.
0 comments:
Post a Comment