Membangun Umat Beragenda

Friday, 25 October 2013

Fitnah dan Kewaspadaan
Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah telah menyatakan bahawa; menolak satu perkara sahaja dari kata-kata Rasulullah s.a.w sudah boleh dianggap sebagai penyelewengan. Beliau berkata:
“Aku telah melihat di dalam Al-Quran. Ku dapati ada 33 tempat yang menyebut tentang ketaatan kepada Rasulullah saw”.

Beliau membaca sepotong ayat iaitu firman Allah S.W.T. :
فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ
Sebab itu orang-orang yang menyalahi perintah baginda saw hendaklah merasa takut mereka akan terkena fitnah.” (An-Nur 24:63)

Imam Ahmad membacanya berulang kali dan kemudian berkata:
“Apakah dia fitnah? Fitnah adalah syirik. Apabila seseorang itu menolak sebahagian dari kata-kata Nabi s.a.w. maka mungkin akan terpalit penyelewengan ke dalam hatinya dan penyelewengan itu akhirnya akan membinasakannya.”

Menolak Sebahagian dari Syariat Allah Adalah Kufur
Tetapi penyelewengan itu ada beberapa peringkat:

Antaranya ialah penyelewengan kesesatan kufur ‘pure’ yang mencampakkan pelakunya ke luar dari Islam. Ini berlaku bila seseorang yang telah benar-benar tahu tentang mana-mana hukum aqidah atau syariat dan dia tahu pula adanya ayat-ayat Quran atau hadis yang mutawatir mengenai hukum tersebut tetapi kemudiannya mendakwa dia tidak yakin dengan kesesuaian hukum-hukum itu untuk direalisasikan. Atau juga menyifatkannya sebagai hukum yang sudah tak sesuai dengan maslahah dan tidak relevan dengan perkembangan zaman dan sebagainya.

Itulah orang yang dimaksudkan oleh al-Quran sebagai beriman dengan sebahagian kitab Allah dan kufur dengan sebahagian yang lain. Semua orang muslim telah tidak khilaf lagi kafirnya orang begini.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah contohnya, terang-terangan mengkafirkan orang yang beriman dengan sebahagian-sebahagian begini. Beliau membawa dalil-dalil dari Al-Quran. Beliau menerangkan bahawa sifat kufur itu tidak hanya terbatas pada golongan atheis dan golongan yang mengengkari seluruh risalah Islam sahaja, bahkan golongan yang yakin dengan sebahagian risalah, tetapi tidak yakin dengan sebahagian lagi juga adalah kafir, sebagaimana firman Allah S.W.T.:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا(150)أُوْلَئِكَ هُمْ الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا(151)وَالَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَمْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ أُوْلَئِكَ سَوْفَ يُؤْتِيهِمْ أُجُورَهُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan hendak membezakan antara Allah dan para RasulNya, dan mereka berkata: Kami beriman kepada setengah (Rasul) dan kafir kepada yang lain dan mereka hendak mengambil jalan tengah antara demikian itu (neutral). Mereka itu ialah orang-orang yang benar-benar kafir; dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir itu seksaan yang menghinakan. Orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-RasulNya dan tiada membezakan seorangpun di antara Rasul-Rasul itu, nanti Allah akan memberikan pahala kepada mereka. Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (An-Nisa’ 4:150-152)

Allah berfirman kepada ahli kitab:
ثُمَّ أَنْتُمْ هَؤُلَاء تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًا مِنْكُمْ مِنْ دِيَارِهِمْ تَظَاهَرُونَ عَلَيْهِمْ بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَإِنْ يَأْتُوكُمْ أُسَارَى تُفَادُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Kemudian sebahagian kamu membunuh yang lain, dan kamu usir satu golongan di antaramu dari karnpungnya, kamu tolong-menolong dalam membuat dosa dan aniaya; kalau datang kepadamu orang-orang tawanan, tebus-menebus kamu dengan mereka, sedangkan telah diharamkan atas kamu mengusir mereka. Adakah kamu percaya kepada sebahagian kitab dan engkar akan sebahagiannya? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antaramu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia; dan pada hari kiamat, mereka dimasukkan he dalam seksaan yang keras. Allah tiada lalai dari apa-apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah 2:85)

Firman Allah S.W.T.:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا(60)وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا
“Tidakkah engkau ketahui bahawa orang-orang yang mendakwa mereka beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada engkau dan Kitab-kitab yang diturunkan sebelum engkau; mereka hendak berhukum kepada taghut, sedang mereka disuruh supaya kafir terhadap taghut. Syaitan mahu menyesatkan mereka dengan sesesatnya. Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada Rasul, maka engkau lihat orang-orang munafik berpaling dari engkau dengan sungguh-sungguh.”(An-Nisa’ 4:60-61)

Firman Allah S.W.T.:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنْ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَؤُلَاءِ أَهْدَى مِنْ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا(51)أُوْلَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمْ اللَّهُ وَمَنْ يَلْعَنْ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada nabi Muhammad s.a.w.). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang¬-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.” (An-Nisa’ 4: 51-52)

Selepas membentangkan ayat-ayat ini, Ibnu Taimiyah menerangkan:
”Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu yang di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan ‘orang luar’ risalah berbanding orang-orang yang beriman. Samalah juga keadaannya sebagaimana sebahagian manusia mengutamakan pendapat ahli falsafah dan kerajaan jahiliyah (yang berbangsa Turki, Dailam, Arab, Farsi dan lain-lain) berbanding orang yang beriman kepada Allah, kitab Allah dan RasulNya.

Begitu juga Allah mencela orang yang mengaku beriman dengan seluruh kandungan kitab-kitab Allah tetapi mereka tidak berhukum dengan menggunakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka rela berhukum menurut taghut yang diagungkan selain dari Allah. Perkara ini terkena pada ramai dari orang yang mengaku Islam tetapi mereka berhukum kepada pendapat dan pandangan ahli falsafah atau memerintah menurut sistem politik bukan syariat Allah samada menurut cara raja-raja Turki dan lainnya. Apabila diajak kepada mereka: “Marilah kembali kepada kitab Allah dan sunnah Rasulnya!”, mereka berpaling dan enggan langsung.”

Ibnu Taimiyah r.a -sepertimana yang anda dapat lihat- mentafsirkan ‘taghut’ yang terdapat di dalam ayat ini sebagai sesiapa saja yang mempunyai pendapat yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah, tidak kira menamakan dirinya sebagai ahli falsafah, raja atau sebagainya.

Beriman kepada Allah tanpa beriman kepada segala perintah dan ajaran Rasul (pemisahan tersebut) hanya membawa kepada kekufuran. Tidak boleh langsung diakui sesiapa sahaja yang cuba mengambil jalan tengah dengan mencampur-adukkan agama dengan jahiliyah dan ditempel-tempelkan. Itulah orang yang digambarkan oleh al-Quran sebagai golongan yang hendak mengambil jalan tengah di antara Islam dan jahiliyyah, iaitu jalan ketiga di antara Islam dan ideologi ciptaan manusia. Dicampurkan sedikit dari Islam dan sedikit dari jahiliyah lalu diadun untuk dijadikan satu undang-undang bagi mengatur kehidupan manusia.

Banyak dari kerajaan-kerajaan negara Ummat Islam, parti-parti politik dan badan sosial pada hari ini tidaklah terang-terang menolak tuhan. Tetapi banyak badan-badan ini mengajak orang ramai kepada manhaj (cara hidup) dan sistem yang bercanggah dengan sebahagian hukum-hukum Islam. Kadangkala menghalalkan banyak perkara yang diharamkan dan kadangkala pula mengharamkan apa yang halal sedangkan mereka mengetahui bahawa perkara itu adalah bertentangan dengan syariat Allah.

Ulama’ dan pemimpin gerakan Islam telah menjelaskan kepada mereka ini betapa silapnya perbuatan mencampur aduk, menampal-nampal, mencantum-cantumkan dan iman yang separuh-separuh ini. Meskipun demikian, golongan ini terus berdegil dan terus-menerus mengajak orang ramai kepada al-hawa.

Tidak syak lagi, itu adalah kufur. Wal ‘iya zubillah.

Kita tidak akan Mengkafirkan Seseorang Muslim Tanpa Bukti
Kemudian ada pula penyelewengan yang lebih ringan dan kecil daripada itu.

Ibnu Taimiyyah telah berkata: “Ramai ahli salaf telah berkata: كفر دون كفر Ada satu kufur tidak sampai kepada kekufuran, satu nifaq yang tidak sampai kepada munafiq dan satu syirik tidak sampai kepada syirik.”

Pelbagai peringkat maksiat. Ada dosa-dosa yang kecil dan ada dosa-dosa besar dan ada juga dosa¬-dosa yang terletak antara keduanya. Ia dilakukan oleh seorang muslim kadangkalanya kerana terikut syahwat, atau ketika lemah kekuatan dirinya atau terlupa harga diri. Dia tidak langsung terfikir untuk menentang atau mengingkari syariat tersebut.

Mungkin juga dia melakukannya kerana kejahilannya terhadap hukum-hukum syarak. Dia langsung tidak berusaha untuk bertanya orang yang tahu walaupun usaha tersebut bukanlah berat sangat pun. Atau kemungkinan dia melakukan dosa tersebut dengan kesilapan penafsiran atau takwil sendiri.

Asas kita dalam hal ini ialah kata-kata Imam al-Bukhari rahimullah yang bermaksud:
“Maksiat adalah perkara jahiliah tetapi pelaku maksiat tidaklah menjadi kafir dengan melakukannya kecualilah bila berlaku syirik. Ini semua berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesungguhnya engkau seorang yang ada padamu jahiliah.”

Kamu dapat lihat bahawa kesimpulan yang dibuat oleh Imam Bukhari dari hadis Nabi S.A.W. ini adalah sangat benar. Label ini ditujukan kepada Abu Dzar r.a. tatkala beliau mengejek Bilal dan ibunya yang berkulit hitam, sedangkan beliau memang seorang sahabat yang hebat.

Satu maksiat sahaja adalah satu cabang dari cabang-cabang jahiliah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W tersebut.

Oleh kerana itu, bila maksiat seorang muslim itu bertambah, maka bertambahlah kadar jahiliah yang ada padanya. Tetapi dia tidaklah menjadi jahiliah penuh, kecuali bila dia mensyirikkan Allah di dalam ibadahnya atau dia beriktikad bahawa sebahagian dari perkara yang diharamkan Allah adalah halal atau beriktikad bahawa sebahagian daripada yang dihalalkan Allah adalah haram dan beriman hanya pada sebahagian dari syariat Allah dan kufur pada sebahagian yang lain.

Inilah rahsia kenapa Rasulullah S.A.W memberi amaran agar berhati-hati ketika mengkafirkan individu yang zahirnya Islam, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: 
Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya: “Wahai si kafir!” Kembalilah kufur itu kepada salah seorang dari mereka. Jika benar, maka kafirlah orang yang dikatakan. Kalau tidak, kembalilah kufur itu kepadanya .”

Inilah juga rahsia yang mendorong Imam Hassan Al¬-Banna agak ketat dalam masalah ini dan menyebutkan dalam “al-Usul al-’Isyrin” (20 Usul) yang bermaksud:
“Kita tidak akan mengkafirkan seorang Islam yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan beramal mengikut tuntutannya dan menyempurnakan apa yang difardhukan kepadanya hanya semata-mata kerana pendapat yang dipegangnya atau satu maksiat yang dilakukannya; kecuali jika dia mengaku dengan kalimah kufur atau menyangkal perkara yang perlu dan sepatutnya diketahui dalam agama, mendustakan keterangan al-Quran, atau mentafsirkannya mengikut satu perspektif yang tidak menepati uslub bahasa Arab tentang sesuatu perkara, atau membuat satu amalan yang tidak membawa pengertian lain selain dari kufur.”

Ini kefahaman yang dapat dilihat di dalam buku “al-Sharh al-’Iraqi li al-Usul al-’Isyrin” (Penjelasan al-Iraqi Terhadap Dua Puluh Usul). Disebutkan:
Mengkafirkan seorang muslim dalam erti mengeluarkannya dari Islam, adalah suatu yang sangat berbahaya. Mesti ada perkara yang membuktikan kekufurannya secara jelas dan terang seperti lahirnya darinya perkataan atau perbuatan yang tidak dapat disangkal lagi kekufurannya. Contohnya ialah menolak suatu yang qat’i (yang pasti) dalam agama, seperti kewajipan solat, pengharaman riba’, perlunya terikat kepada Islam. Atau dia mempersendakan Islam atau al-Quran, mencaci Allah dan RasulNya, sengaja melumurkan Al-Quran dengan kekotoran atau menolak perkara yang terang-terang di dalam Al-Quran, menyangkal hari akhirat atau berkata: “Syariat Islam telah lapuk, ketinggalan zaman, dan tidak layak lagi untuk dilaksanakan dan tidak lagi diperlukan pada masa kini,”. Ini semua menjadikan pengucapnya atau pembuatnya sebagai kafir tanpa ragu-ragu lagi.

Tetapi, jika dia melakukan beberapa maksiat seperti minum arak dalam keadaan dia masih mengakui perkara-perkara asas dalam akidah, maka ketika ini dia hanyalah seorang muslim yang derhaka, bukan kafir. Begitu juga jika dia berkata atau melakukan sesuatu yang masih boleh ditakwilkan lagi, maka tidak boleh dikafirkannya lantaran perkataan dan perbuatannya itu.

Namun, perlu disebut bahawa kita kadangkala menamakan sesetengah perbuatan atau meninggalkan perbuatan tertentu sebagai ‘kufur’ seperti mana terdapat di dalam nas-nas syara’. Contohnya (hadis): “meninggalkan solat itu kufur”.

Tetapi dalam mengkafirkan seseorang individu tertentu, hendaklah wujud secara yakin perkara-perkara yang menjadikannya kafir, seperti dia menyangkal bahawa solat itu fardhu atau seseorang yang diminta supaya bertaubat kerana tidak bersolat: “Sekiranya kamu tidak mahu solat, kami akan bunuh kamu.” Dia terus berdegil dan lebih suka dibunuh maka ini menunjukkan hatinya kosong dari iman dan matinya adalah sebagai seorang kafir.

Begitu juga perlu diketahui bahawa kufur ada dua jenis:
1. Kufur kecil yang tidaklah mengeluarkan penganutnya dari Islam.
2. Kufur besar yang mengeluarkan penganutnya dari Is¬lam.

Berdasarkan pembahagiaan ini dapatlah kita memahami maksud sesetengah nas Quran atau Hadis, antaranya: “Barangsiapa yang bersumpah dengan yang lain dari Allah, dia telah syirik”

Syirik ini tidaklah mengeluarkannya dari Islam, tetapi dia telah melakukan dosa yang amat besar. Begitulah seterusnya”

0 comments:

Post a Comment