“Jauhkanlah dirimu dari sebarang al-hawa yang tidak bernama Islam.”
Itulah teriakan amaran yang dilaungkan oleh Maimun bin Mahran rahimahullah -seorang ahli hadis yang thiqah- ketika dia merasa takut kita semua akan diperdaya oleh kilauan pelbagai nama-nama. Gema teriakan ini masih terdengar-dengar melangkaui generasi demi generasi.
Beliau mengingatkan kita bahawa setiap perkara yang ‘bukan Islam’ adalah sememangnya salah satu dari al-hawa, biar apa jua bentuknya dan di zaman mana ia muncul.
Itulah yang diambil dari semua Imam-Imam sejak dahulu. Bagi mereka, hanya ada satu sahaja kebenaran iaitu wahyu. Selain dari wahyu adalah al-hawa yang tercela. Tiada satu bahagian pun al-hawa yang dipuji dan al-hawa tiada kaitan langsung dengan al-haq. Seseorang muslim tidak dibolehkan langsung berhukum kepada al-hawa atau merasa senang hati dengan al-hawa.
Wahyu ...atau al-hawa
Imam Al-Syatibi telah menegaskan perkara ini dengan padat dan ringkas. Kata beliau di dalam kitab “al-Muwafaqat”: “Sesungguhnya Allah telah menjadikan mengikut al-hawa sebagai bertentang dengan kebenaran, sebagaimana firman Allah S.W.T.:
يَادَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعْ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ
“Hai Daud, sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi, maka hukumlah di antara manusia dengan al-haq, dan janganlah engkau turut al-hawa, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.” (Shaad 38:26)
Allah berfirman lagi:
فَأَمَّا مَنْ طَغَى(37)وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا(38)فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى
“Maka barangsiapa yang melampau batas, dan mengutamakan hidup di dunia, maka sesungguhnya, nerakalah tempat duduknya.” (An-Nazi’at 79:37-39)
Allah berfirman pula tentang sifat yang bertentangan selepas ayat tersebut:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنْ الْهَوَى(40)فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
“Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya, dan menahan dirinya al-hawa, maka sesungguhnya syurgalah tempat duduknya” (An-Nazi’at 79:40-41)
Firman Allah S.W.T. :
وَمَا يَنْطِقُ عَنْ الْهَوَى(3)إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى
“Nabi tidak bercakap dari al-hawa. Ia (Quran) tidak lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya” (An-Najm 53:3-4)
Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa di depan kita hanya ada dua pilihan: Wahyu (syariat), atau al-hawa. Tiada yang ketiga. Oleh itu, kedua-duanya adalah berlawanan. Apabila al-haq hanya terletak pada wahyu, maka kebatilan secara otomatik terletak pada al-hawa. Dan secara langsung, pengikut al-hawa adalah bertentangan dengan al-haq.
Firman Allah lagi :
أَفَرَأَيْتَ مَنْ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ
“Adakah engkau lihat orang yang mengambil al-hawanya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya selepas didatangi ilmu kepadanya.” (Al-Jatsiyah 45:23)
Firman Allah S.W.T. :
وَلَوْ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتْ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ
“Kalau sekiranya al-haq mengikut al-hawa mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang ada di dalam keduanya.” (Al-Mukminun 23:71)
Firman Allah S.W.T. :
أُوْلَئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ
“Mereka itu adalah orang-orang yang telah di’cop’Allah pada hati mereka dan mereka mengikut al-hawa mereka.” (Muhammad 47:16)
Firman Allah S.W.T. :
أَفَمَنْ كَانَ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّهِ كَمَنْ زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ وَاتَّبَعُوا أَهْوَاءَهُمْ
“Adakah orang yang berada di atas keterangan (dalil) dari Tuhannya sama dengan orang yang diperhiaskan kepadanya amalan jahatnya dan mereka mengikut al-hawa mereka?” (Muhammad 47:14)
Lihatlah! Semua ayat yang menyebut al-hawa, ia mesti dicela dan pengikut al-hawa pula pasti pula dikutuk. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa beliau berkata:
“Bila mana Allah menyebut perkataan ‘al-hawa’ di dalam al-Quran, pasti Dia mencelanya. Dari sini jelaslah maqasid dari syariah diturunkan ialah untuk mengeluarkan kita dari menjadi pengikut al-hawa.
Tiada Jalan Tengah....
Itulah juga perintah Allah kepada Rasulullah s.a.w.. Allah S.W.T. berfirman:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنْ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
“Kemudian Kami jadikan engkau (Ya Muhammad) di atas syariat (peraturan) di antara urusan (agama), maka ikutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa orang-orang yang tidak berilmu.” (Al-Jatsiyah 45:18)
Syed Qutb berkata di dalam tafsirnya “Fi Zilal al-Quran” :
”Sama ada syariat Allah ataupun hawa-hawa orang-orang yang jahil. Tiada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah di antara syariat yang lurus dan hawa yang berubah-ubah. Sesiapa sahaja yang meninggalkan syariat Allah sebenarnya secara otomatik telah berhukumkan hawanya. Semua yang lain dari syariat Allah adalah hawa yang terperosok ke dalamnya orang yang jahil.”
Syariat hanyalah satu iaitu syariat Allah. Selain dari itu hanyalah hawa yang bersumberkan kejahilan. Pendokong dakwah wajib mengikuti syariat Allah sahaja dan meninggalkan segala al-hawa. Mereka sedikitpun tidak boleh lari dari syariat dan cenderung kepada al-hawa.
Itulah juga perintah Allah sentiasanya kepada orang-orang beriman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.” (Al-Baqarah 2:208)
“Pilihlah di antara petunjuk Allah ataupun tipu daya syaitan. Penegasan sebegini sepatutnya menjadikan seorang muslim tahu pendiriannya. Dia tak patut berdolak-dalik, ragu-ragu atau termangu-mangu di depan pelbagai jalan dan haluan yang ada di hadapannya.
Tiada manhaj / sistem alternatif bagi orang yang beriman untuk dipilih-pilih. Tiada jalan baginya untuk dicampur adukkan antara satu sama lain.
Tidak sekali-kali. Sesiapa yang tidak masuk Islam secara keseluruhannya, tidak menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada kepimpinan dan syariat Allah dan tidak membebaskan diri dari sebarang tasawwur, konsep, manhaj dan syariat yang lain, MAKA sesungguhnya dia telah mengikut jejak langkah dan sedang berjalan di atas jalan syaitan.”
[alMuntalaq Bab 1]
0 comments:
Post a Comment